Telekung bersolat gemparkan penduduk
TELUK KEMANG 13 Mei – Sama ada perkara benar atau dibuat-buat, kisah telekung berbentuk seperti orang duduk tahiyat akhir menjadi tumpuan penduduk di Bandar Sunggala, Port Dickson dekat sini sejak tiga hari lalu.
Semuanya bermula apabila pemilik telekung berkenaan, Azizah Jalil, 61, yang merupakan seorang ibu tunggal mendapati telekung miliknya berbentuk demikian ketika mahu menunaikan solat Asar, Selasa lalu.
‘‘Saya letakkan telekung di atas sejadah sebelum mengambil wuduk. Selepas selesai wuduk, saya menyarungkan kain. Apabila memalingkan muka ke arah sejadah, saya terkejut apabila melihat telekung itu sudah berbentuk seperti itu.
‘‘Sebelum itu saya ingat benar telekung berkenaan hanya berlipat dan diletakkan di atas sejadah dan keadaannya tidak begitu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Anggerik 29, Bandar Sunggala, Port Dickson dekat sini hari ini.
Terkejut dengan keadaan itu, Azizah segera memanggil anaknya, Mohd. Hafiz Masrom, 25, untuk melihat kejadian itu kerana bimbang apa yang dilihatnya itu hanyalah ilusi semata-mata.
‘‘Anak saya kata dia juga melihat telekung yang sama dan dalam keadaan seperti itu.
‘‘Sejak kejadian itu sehinggalah ke hari ini, telekung berkenaan tidak disentuh dan dibiarkan dalam keadaan begitu,” kata Azizah.
Kejadian yang berlaku itu menyebabkan rumah Azizah menjadi tumpuan penduduk yang datang tanpa mengira waktu untuk menyaksikan perkara tersebut.
Kata Mohd. Hafiz, orang ramai datang sendiri untuk melihat telekung itu dan terpulang kepada mereka untuk menilai kejadian itu.
Dalam pada itu, Pegawai Agama Islam Daerah Port Dickson, Mohd. Raizalaini Mohd. Rais berkata, masyarakat Islam tidak boleh mentafsir atau menterjemahkan kejadian itu sewenang-wenangnya kerana ia boleh memesongkan akidah.
‘‘Sama ada perkara itu baik atau buruk, pastinya setiap yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya. Sebagai umat Islam, kita perlu menerimanya dengan kerelaan hati dan menanamkan dalam diri untuk terus memperbaiki segala amalan dan berazam menjadi umat Islam yang baik,” katanya.
Menurutnya, selepas melihat sendiri telekung berkenaan, beberapa pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melipat semula telekung itu supaya tidak dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment