Friday, May 14, 2010

Isteri koperal mangsa langgar lari mohon bantuan



Satona Pinyin mendengar permintaan Khalid Che Rus di rumah mereka di Taman Keramat, semalam.


KUALA LUMPUR 13 Mei - Selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari setahun lalu, seorang anggota polis kini terpaksa menanggung derita tidak mampu berjalan dan bercakap sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada isteri dan keluarga.
Koperal Khalid Che Rus, 48, yang pernah bertugas di Balai Polis Ampang Jaya kini hanya terlantar dan memerlukan simpati masyarakat sekeliling baginya meneruskan kehidupan.
Bapa kepada tiga anak lelaki itu dirempuh oleh sebuah kenderaan, yang sehingga kini belum dikenal pasti termasuk pemandunya, pada pukul 1 pagi, 29 April tahun lalu.
Khalid yang bertugas di bahagian tugas-tugas am terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal untuk pulang selepas habis kerja.
Berikutan kemalangan itu, Khalid koma selama tiga minggu dan terlantar di Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima bulan sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya di Taman Keramat di sini.
Isterinya, Satona Pinyin, 44, berkata, suaminya kini tidak mampu melakukan sebarang kerja dan hanya bergantung kepadanya untuk menguruskan keperluan harian.
"Segala keperluan suami diuruskan oleh saya dan anak-anak selain bantuan daripada jiran terdekat.
"Setelah anak-anak kembali ke pusat pengajian masing-masing, saya menguruskan suami sendiri dengan kudrat yang ada," katanya dengan nada sedih ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Anggota polis itu, ketika ditanya oleh wartawan, dapat memahami butiran soalan tetapi tidak mampu untuk bercakap akibat kerosakan pada saraf otaknya.
Satona memberitahu, kos perbelanjaan untuk merawat suaminya dalam tempoh sebulan mencecah sehingga RM2,000.
"Sehingga kini, hanya bantuan dari Baitumal sahaja yang diterima iaitu lampin pakai buang dan susu.
"Bagaimanapun, bantuan itu bukan untuk jangka masa yang panjang kerana setiap lima bulan saya perlu memohon semula bantuan itu," ujarnya.
Menurutnya lagi, suaminya perlu mendapatkan rawatan fisioterapi dua minggu sekali di HKL dan berjumpa dengan doktor pakar untuk rawatan saraf setiap tiga bulan.
Bagi menampung perbelanjaan seharian dan perbelanjaan anak-anak yang masih belajar, Satona mengambil upah mengasuh anak jiran.
Dia menjelaskan, apa yang diperlukan kini adalah bantuan perubatan daripada pakar untuk memulihkan saraf otak suaminya.
"Saya berharap ada pakar perubatan yang tampil membantu suami saya agar kembali pulih seperti sedia kala.
"Pelbagai rawatan alternatif telah saya cuba namun keadaannya tiada perubahan," jelasnya.
Pasangan itu mempunyai tiga orang anak lelaki yang masih belajar iaitu Muhamad Khairil Haizad, 20; Muhamad Nazrin,19, dan Muhamad Hafiz,16.

No comments:

Post a Comment