KANGAR: Wang gaji suami tersekat di bank, manakala anaknya terpaksa berhenti sekolah selepas keluarga mereka dihimpit masalah kewangan menyebabkan seorang suri rumah, Mariani Mohamad, hilang punca untuk meneruskan kehidupan.
Paling memeritkan, suami Mariani, Abdul Rahman Rejab, 57, seorang kakitangan kerajaan terlantar di rumahnya di Taman Bunga Padi, Bintong di sini sejak Januari lalu apabila disahkan lumpuh seluruh badan.
“Saya kini buntu memikirkan masa depan kehidupan kami sekeluarga apabila suami yang menjadi tempat bergantung lumpuh selepas terjatuh dari katil di rumah. “Dia yang menghidap penyakit darah tinggi dan asma, bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis dan terpaksa cuti sakit sejak Januari lalu selepas lumpuh keseluruhan badan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Mariani berkata, dia menghadapi kesukaran mengeluarkan wang gaji Abdul Rahman untuk kos pembelian ubat dan keperluan dapur apabila buku bank dan kad pengenalan suaminya itu hilang.
“Usaha anak sulung saya mengeluarkan wang gaji suami gagal kerana perlu mengemukakan bukti yang sukar diperoleh serta terikat dengan peraturan tertentu dari pihak institusi kewangan terbabit.
“Kehilangan dokumen penting suami termasuk kad bank dan kad pengenalan berlaku ketika kelam-kabut menguruskan rawatannya yang lumpuh secara tiba-tiba selepas terjatuh dari katil Januari lalu,” katanya.
Mariani, 57, berkata, anak bongsunya, Mohamad Hairi, 16, sudah tidak ke sekolah sejak sebulan lalu dan kemungkinan bercuti panjang disebabkan masalah kesempitan wang dialami keluarganya.
“Anak bongsu saya sedang mencari pekerjaan untuk menguruskan kehidupan kami tiga beranak termasuk kos rawatan suami yang memerlukan perhatian rapi,” katanya.
Tiga daripada empat anak pasangan berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab membela keluarga masing-masing serta sekadar mampu untuk membiayai keperluan dapur ibu bapa mereka.
Beliau berkata, dia membelanjakan sehingga RM700 sebulan untuk rawatan suami yang terbaring di katil dan hanya mampu berkomunikasi melalui isyarat mata manakala makanannya pula disalurkan menerusi tiub ke kerongkong.
No comments:
Post a Comment