Thursday, June 3, 2010

124 aktivis pro-Palestin tiba di Jordan



JORDAN - Aktivis pro-Palestin yang menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan dan diserang tentera Israel mendedahkan layanan buruk serta penghinaan yang diterima sebelum mereka dihantar ke Jordan, semalam. 

Walid al-Tabtabai dari Kuwait yang merupakan salah seorang daripada hampir 700 aktivis dari 12 negara Islam itu berkata, lelaki, wanita dan kanak-kanak dikasari dan diperlakukan dengan cara yang amat hina dan tanpa perikemanusiaan.

"Layanan yang kami terima memang amat teruk tetapi sekurang-kurangnya mesej sudah sampai ke seluruh pelosok dunia bahawa sekatan Israel di Gaza tidak adil dan perlu ditamatkan segera," katanya. 

Semalam, 124 aktivis berkenaan menaiki lima bas untuk melintas jambatan merentas Sungai Jordan yang berada di bawah kawalan Israel. 

Izzaddine Zahrour dari Algeria mendedahkan, aktivis yang ditahan tidak diberi makan dan minum serta tidak dibenarkan tidur atau menggunakan tandas. 

"Aktivis yang menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak membawa apa-apa senjata tetapi cara kami diperlakukan amat memalukan. 

Seorang lagi peserta misi, Mohammed Gholam dari Mauritius berkata, aktivis yang ditahan diminta me-nandatangani dokumen untuk mengaku memasuki Israel secara haram. 

"Kami enggan menandatangani sebarang dokumen kerana kami tidak pernah merancang untuk ke Israel, sebaliknya kami dalam perjalanan ke Gaza tetapi tentera Israel yang menculik kami dari perairan antarabangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment