KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia AS$45,000 (RM149,709) kepada keluarga sembilan rakyat Turki yang dibunuh tentera Israel dalam insiden kapal Mavi Marmara minggu lalu.
Bantuan disampaikan kepada Duta Turki ke Malaysia, Serap Attay di kediamannya di Langgak Duta di sini.
Mengulas mengenai bantuan itu, Rosmah berkata, setiap keluarga sukarelawan yang terbunuh akan menerima AS$5,000 (RM16,634.40).
Dalam insiden pada 30 Mei lalu, sembilan warga Turki itu terbunuh selepas tentera rejim Zionis menyerang kapal yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Insiden itu turut menyaksikan 12 rakyat Malaysia di atas kapal terbabit ditahan Israel.
Mengulas mengenai kejadian itu, Rosmah berkata, rejim Israel kini tidak lagi berani mengulangi kejadian serupa kerana dunia sedang memerhati tindak-tanduk mereka.
“Dunia sudah tahu tujuan mereka masuk ke kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza bukan sekadar membuat pemeriksaan ke atas barang dan peserta, tetapi lebih daripada itu,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment