Friday, June 11, 2010

Media asing sengaja putar belit



SHAH ALAM – “Kami sukarelawan misi bantuan Gaza bukan pengganas sebagaimana yang digambarkan oleh media asing.” 

Demikian tegas Ketua Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G), Noorazman Samsuddin bersama 11 sukarelawan berkongsi pengalama ditahan tentera Israel bersama warga Kumpulan Karangkraf, semalam. 

Menurutnya, peperangan media sedang hebat dilakukan di Istanbul di mana pengamal media yang terlibat berkumpul bagi menyelar laporan putar belit media asing dan memberi penjelasan sebenar insiden yang berlaku. 

“Media asing kini giat memutarbelitkan berita kononnya sukarelawan konvoi misi bantuan kami adalah pengganas berikutan berita kononnya Israel menemui beberapa senjata berbahaya di dalam kapal Mavi Marmara. 

Bagaimana Israel mengatakan ada senjata berbahaya di dalam kapal sedangkan pada minggu pertama dilaporkan hanya menemui 10 bilah pisau untuk kegunaan memasak. Malah senjata itu tidak pernah kami nampak dan ketahui kewujudannya,” katanya. 

Beliau berkata, adakah logik mereka dilabel sebagai pengganas sedangkan peserta sukarelawan misi tersebut terdiri daripada bayi sewal berumur dua bulan, warga emas berumur berumur 83 tahun dan kira-kira 50 kaum wanita. 

“Israel adalah pengganas dan lanun kerana mereka menyerang kapal kami pada waktu malam dalam keadaan gelap tanpa sebarang notis dan arahan. 

“Lebih dahsyat apabila adanya kematian, kecederaan dan kami di bom dengan bom asap dan bom api. Namun, dengan Izin Allah, bom yang dilepaskan tidak berjaya kerana pada masa itu angin begitu kuat menyelamatkan kami,” katanya. 

Beliau menegaskan, konvoi bantuan kemanusiaan Gaza itu membawa tiga perkara penting iaitu isu keamanan, kemanusiaan dan undang-undang. 

Katanya, pihak kepimpinan konvoi juga telah memberi arahan jangan melakukan sebarang kekerasan walaupun ada pihak yang merampas kapal kita. 

“Bahkan Presiden IHH sendiri berkata jika sekiranya Israel menolak konvoi kemanusiaan ini dan tidak suatu hari nanti dunia akan menolak dan menyekat negara itu sehingga mereka akan berada dalam kesusahan, pasukan konvoi ini akan menghulurkan bantuan kepada Israel jika mereka meruntuhkan kekejaman rejim Zionis. 

“Sehingga begitu sekali aspek kemanusiaan dititikberatkan dalam konvoi misi bantuan ini, bagaimana kami boleh dilabel sebagai pengganas,” katanya. 

Oleh itu, beliau menyeru media memberi penerangan jelas kepada dunia situasi sebenar agar mereka dikelirukan dengan putar belit Israel.

No comments:

Post a Comment