Friday, June 11, 2010

Jangan baharui lesen premis judi





Sebahagian perwakilan dan tetamu khas pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-56 di Dewan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pangkalan Chepa, semalam. Turut hadir bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (tiga dari kanan).


KOTA BHARU 10 Jun - Dewan Pemuda Pas mencadangkan agar pakatan pembangkang sepakat tidak memperbaharui lesen premis perjudian yang banyak beroperasi di negeri-negeri yang dikuasai mereka.
Ketuanya, Nasrudin Hasan berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin di negeri-negeri terutama Selangor dan Pulau Pinang dalam tempoh terdekat ini bagi mengemukakan cadangan tersebut.
Bagaimanapun ujarnya, ia bukan bermaksud perlu dilaksanakan segera sebagai memahami perbezaan budaya rakyat pelbagai kaum dan agama.
"Premis-premis judi akan datang, ditutup terus. Kita tidak akan buat dan ini kita cadangkan kerana judi ini juga diharamkan oleh semua agama termasuk Islam sendiri.
"Cuma kita tidak akan buat secara ekstrem kerana itu memerlukan masa supaya mereka (bukan Islam) faham bahawa judi adalah sesuatu yang buruk," tegasnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat ke-56 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini hari ini yang dihadiri 648 perwakilan dari seluruh negara.
Nasrudin berkata, walaupun Pemuda tegas dalam mengeluarkan cadangan itu, mereka tidak akan memberikan tempoh masa tertentu kepada negeri-negeri ini kerana ia akan diadakan secara berperingkat.
Jelasnya, pendirian tersebut konsisten dengan kata sepakat yang dibuat oleh semua negeri di bawah pakatan pembangkang yang tidak meluluskan pemberian lesen judi dalam sukan.
"Pulau Pinang dan Selangor telah pun tidak memperbaharui lesen judi dan bersama memberikan komitmen tidak membenarkan judi sukan,'' katanya.
Menyentuh mengenai penjualan arak, beliau berkata, tiada cadangan meminta lesen ditamatkan kerana agama lain ada yang membenarkan penganutnya meminum arak.
Justeru, katanya, Pemuda tidak bercadang untuk menghalang keistimewaan yang dimiliki masyarakat bukan Islam dalam soal arak.
"Sewaktu kita teraju kerajaan Terengganu dulu, semua pemimpin agama termasuk Hindu dan Buddha dipanggil dan menurut mereka judi memang diharamkan tetapi ada agama yang membenarkan arak," tambahnya.

No comments:

Post a Comment