KUALA LUMPUR 21 Jun – Lebih seribu warga kota membanjiri pekarangan Penjara Pudu di Jalan Hang Tuah di sini untuk menyaksikan proses merobohkan tembok penjara itu malam ini.
Tembok penjara berusia 100 tahun dan menjadi dinding pemisah antara banduan dan orang awam dirobohkan mulai pukul 10 malam ini bermula di tembok bersebelahan Jalan Pudu.
Kerja-kerja tersebut melibatkan penggunaan dua buah jentolak milik kontraktor, Syarikat Pertama Makmur Sdn. Bhd. dengan kira-kira 30 orang pekerja terlibat.
Tembok sepanjang 394 meter dan setinggi 4.5 meter itu terpaksa dirobohkan untuk memberi memberi laluan kepada projek persimpangan bertingkat serta laluan bawah tanah di situ.
Orang ramai daripada berbilang kaum dan pelancong asing pula tidak melepaskan peluang bergambar khususnya di pintu gerbang Penjara Pudu.
Selain itu, ada yang turut mengutip ketulan batu daripada tembok yang dirobohkan tersebut sebagai kenang-kenangan.
Keadaan itu juga menyaksikan berlaku kesesakan lalu lintas apabila pemandu kereta memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat peristiwa bersejarah itu.
Bagaimanapun kehadiran anggota polis trafik di jalan sekitar Penjara Pudu iaitu Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah berjaya mengawal keadaan.
Proses merobohkan tembok itu dijangka siap sepenuhnya dalam masa empat hari.
Bersama-sama runtuhnya tembok berkenaan yang menjadi salah satu ‘ikon’ Kuala Lumpur ialah monumen yang merakamkan sejarah apabila beberapa banduan penjara itu menunjukkan kreativiti mereka melukis mural yang terpanjang di dunia.
Selepas ini, bahagian bangunan penjara juga akan turut diruntuhkan untuk memberi ruang kepada projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) yang bakal dimajukan oleh UDA Holdings Berhad.
Tembok Penjara Pudu, yang juga pernah dikenali sebagai Pudu Goal, mula dibina pada 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.
Tembok daripada batu bata yang diimport dari Britain itu mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892. Kos bagi pembinaan tembok ini bernilai RM15,360.90 (harga pada tahun 1800-an).
No comments:
Post a Comment