Tuesday, June 22, 2010

Upaya menilai perwatakan politikus


- RAHMAN SHAARI 

Ahli politik, sama juga dengan orang lain, mempunyai perwatakan. Mereka membawa perwatakan mereka ke mana-mana. Perwatakan ialah hal ehwal pembinaan watak. Perwatakan dalam novel atau cerpen ialah cara atau kaedah watak dilukiskan. Dalam kenyataan hidup, perwatakan manusia bukanlah cara sesiapa melukiskan watak. Kita tahu, jika seseorang menendang kucing, dia berperwatakan kasar dan kejam. Tetapi perbuatan menendang kucing bukanlah masalah cara melukiskan dirinya, sebaliknya, itu ialah isi perwatakannya. Perwatakan ialah segala hal tentang diri seseorang manusia: luaran dan dalaman. 

Apa yang lebih utama dalam perwatakan ialah segi dalaman. Perkara luaran, misalnya perbuatan nyata seperti menendang kucing tadi, terakibat daripada segi dalaman. Sukar kita cari alasan mengapakah si Bedul itu bengis terhadap kucing. Mungkin, dalam akal bawah sedarnya tersimpan dendam, katakanlah seekor kucing telah mencuri lauk di pinggannya ketika dia kecil dahulu. Isi akal bawah sedar hanya dapat dikesan jika perawatan dan pemerhatian psikoanalisis dilaksanakan. Perbuatan yang bersifat luaran ada kaitan dengan hal dalaman. 

Perkara luaran juga termasuk saiz, ketinggian, warna kulit, dahi luas atau sempit, hidung mancung atau penyek, mata terbeliak atau sepet, dan lain-lain. Semua itu tidak sepenting yang dalaman. Namun kaitan antara luaran dengan yang dalaman tetap ada. Sebagai contoh, dapat kita katakan, jika sifat fizikal seseorang itu tidak cantik atau tidak kacak, maka mungkin dia berasa rendah diri. Rendah diri ialah segi dalaman. 

Perwatakan dalaman amat penting. Segi dalaman itulah diri seseorang yang tulen. Perwatakan dalaman melibatkan pemikiran, emosi, cita-cita, seterusnya hal-hal yang berkaitan dengan sikap, kepercayaan dan pendirian. Seseorang mungkin menyatakan hal dalamannya kepada orang lain. Orang lain pula mungkin berdiam diri, hingga tidak sesiapa tahu tentang isi dalamannya. Seterusnya mungkin ada orang yang bercakap banyak tentang dirinya, tetapi menyembunyikan niat sebenarnya. Kerap menyembunyikan niat ialah orang politik, sama ada politik kepartian dalam arena pengejaran kuasa, atau politik yang kecil-kecilan di pejabat, dalam syarikat, malah di dalam rumah juga. 

Kebahagiaan dan ketenangan boleh diakibatkan perwatakan. Di luar atau dalam bidang politik, sama sahaja. Orang yang sentiasa tenang, akan kelihatan berwajah penuh kesyukuran, manakala orang yang sentiasa memburu kedudukan, terutama kedudukan paling atas, kelihatan cemas dan rimas. Itu penting untuk diperhatikan. Orang yang tenang, jika memperoleh jawatan tertinggi akan kelihatan selamba selama-lamanya, manakala orang yang cemas dan rimas akan kelihatan sentiasa resah kerana memburu kuasa, dan jika dia berkuasa, dia akan berbuat bermacam-macam lagi yang kelihatan gelojoh untuk mempertahankan kuasanya. 

Demi mendapatkan ketenangan, terdapat tokoh politik yang berkedudukan sebagai wakil rakyat, bertukar parti. Ini berlaku di kedua-dua pihak, iaitu dari kerajaan ke pembangkang, dan dari pembangkang ke kerajaan. Peristiwa begini telah diramalkan sejak dulu, dan dihebohkan, iaitu (seperti yang diketahui umum) bahawa sejumlah tokoh Barisan Nasional akan melompat ke pihak pembangkang, dan tarikhnya ialah 16 September 2008. Peristiwa itu tidak berlaku, tetapi sekurang-kurangnya Ketua Pembangkang menyatakan ada ura-ura. 

Mengapakah (jika betul ada ura-ura) mereka mahu bertukar parti? Saya kira, jika betul-betul berlaku, tujuannya ialah untuk mencari ketenangan, setelah berasa rimas berada dalam parti yang sedia didukunginya. Kemudian, kita dapati itu tidak berlaku. Apa berlaku ialah sejumlah ahli atau tokoh dari Pakatan Rakyat meninggalkan partinya. Alasannya ialah demi memperoleh ketenangan juga. Baru-baru ini ada lagi wakil rakyat pembangkang melompat meninggalkan parti, dan masalah timbul kerana DAP mengatakan ada perjanjian, jika wakil rakyat itu meninggalkan parti, dia mesti membayar berjuta-juta ringgit. 

Jika pemberitaan tentang hal ini dibaca dengan cermat, kita akan mendapati melompat parti tidak mungkin merupakan kesalahan. Kita andaikan berpuluh-puluh orang wakil rakyat dari Barisan Nasional meninggalkan kerajaan, dan menyertai pembangkang pada 16 September 2008: Adakah itu kesalahan? Selaku penulis politik yang bebas daripada hal-ehwal putar-belit politik, saya menganggap wakil rakyat bekerja untuk rakyat, bukan untuk parti. Selagi dia dapat berkhidmat untuk rakyat, maka dia tidak bersalah. Perwatakan adalah kekal, manakala parti politik ialah pertubuhan yang dibuat-buat. Parti politik boleh ditubuhkan lagi setelah seseorang tokoh berasa rimas dan cemas menghadapi sesuatu keadaan. Syaratnya dia ada pengaruh. Entahlah. 

Penilaian seseorang terhadap orang lain selalunya tidak tepat. Kita putuskan hal itu dahulu, dengan contoh pasangan dalam perkahwinan. Dalam drama saya “Petua Perkahwinan” ada saya hujahkan bahawa suami isteri selalunya tidak sesuai, atau tidak cocok, kecuali jika cocok dieja ‘cucuk’. Keadaan tidak sesuai atau tidak cocok itu bertolak daripada pendidikan, sosialisasi dan tabiat asal yang ada dalam diri masing-masing. Katakan, seorang wanita kaki wayang berjodoh dengan seorang lelaki anti wayang. Apa boleh buat? Keadaan lain ialah: Jika suami isteri sama-sama kaki wayang, namun si suami menggemari filem Hindustan dan Melayu, manakala si isteri menyukai filem Inggeris. 

Alasan untuk seseorang meminati sesuatu ada dalam ‘cerita tentang diri masing-masing’. (Rujuk tulisan saya minggu lepas). Jika ada usaha untuk mengubah cerita, pasangan suami isteri itu mungkin kian akrab kerana kesesuaian bertambah-tambah, dan mungkin juga kian berkonflik. Suami yang anti wayang boleh memilih dua jalan cerita. Pertama dia bersyarah kepada isterinya dengan tajuk: “Menonton wayang itu haram”. Isteri akan memendam rasa, kerana dia mendapati kawan-kawannya masih menonton wayang. Bertambah-tambah lagilah kecewanya dia jika si suami tidak mengizinkan dia menonton wayang dengan adik atau kakak atau saudara maranya. Jalan cerita yang kedua ialah: Si suami sendiri memulakan ‘kesukaan’ menonton wayang. Ada kemungkinan dia akan menemukan filem yang sesuai dengan jiwanya. 

Kita lihat pula kes filem Hindustan, Melayu dan Inggeris. Isteri yang tidak menyukai filem Hindustan dan Melayu, cuba-cubalah menonton lakonan Ashwarya Rai atau Rosyam Noor, dengan anggapan itu ialah bidang baru yang elok diterokai. Suami yang tidak menyukai filem Inggeris cuba-cubalah menonton lakonan Angelina Jolie atau Kevin Cosner, entah-entah ada segi yang akan sesuai. 

Dalam politik demokrasi yang tulen, suami dibolehkan berparti A, manakala isteri berparti B, dan keadaan itu tidak menggoncangkan rumah tangga. Ketika krisis antara Mahathir dan Anwar memuncak dahulu, di Perlis ada pasangan suami isteri yang memilih jalan berbeza: Suami menyokong Mahathir, manakala isteri menyokong Anwar. Rumah tangga mereka terus aman damai. Tahniah kepada suami isteri di Perlis itu. Sekarang, setelah lebih 10 tahun berlalu, suami isteri itu kian memahami politik. Ketaksuban kepada tokoh tidak begitu berguna. Apa yang penting, carilah kegunaan di celah-celah politicking. 

Dalam politik haru-biru seperti yang kita lihat kini, jika si A berada dalam UMNO atau MCA, maka pihak PKR dan Pas mengatakan yang bukan-bukan kepada si A, tanpa memeriksa mengapakan si A berada dalam UMNO atau MCA. Orang yang berada dalam UMNO juga berkata macam-macam kepada si B, iaitu ahli atau penyokong PKR atau Pas, tanpa memeriksa alasan. Jika ini terus berlaku, memang benarlah sejumlah anggota masyarakat Malaysia tidak memahami perwatakan. Kenapakah tidak diamati, bahawa dalam politik matang ada wakil rakyat Pas di Selangor yang bersaudara dengan wakil rakyat UMNO di Johor? Di Sabah pun ada dua orang adik-beradik yang berbeza parti. Pemilihan mereka bertolak dari perwatakan. 

Perihal perwatakan diri seseorang, dan keahliannya dalam sesebuah parti sebenarnya jauh terasing. Hanya manusia kuno memikirkan hal itu berkaitan. Kita tidak boleh mengatakan ada watak Pas, dan ada watak UMNO. Tiada. Apa yang kita lihat ialah produk-produk hasil pengaruh kempen dan kata-mengata kedua-dua pihak. Jika mereka tidak dirasuk oleh ‘hantu kempen’ dan ‘pelesit kata mengata’, mereka tidak akan jadi sedemikian hodoh. Sedemikian hodoh? Apa tidaknya, anak saudara tidak menyenangi ibu saudara yang menjaganya semasa kecil, kenapa? Dua orang yang berkedudukan sepupu saling tidak makan kenduri, mengapa? Hanya kerana Pas dan UMNO. 

Perwatakan ahli dan penyokong politik ialah perwatakan yang dirosakkan oleh kempen dan kata-mengata. Jika kita ingin maju, kita tinggalkanlah sikap kuno itu, dan kita pegang parti kesukaan kita, tanpa mengatakan bahawa ahli dan penyokong parti lain adalah buruk, malaun, dan kaki bodek belaka. 

Fahami perwatakan, di situ tersembunyi kematangan politik.

No comments:

Post a Comment