Friday, July 16, 2010

53 mangsa kebakaran tuntut janji





Sebahagian daripada penduduk di Rumah Pangsa Kos Rendah Kuala Perlis menuntut hak perjanjian dengan kerajaan negeri mengenai kedudukan tempat tinggal mereka di Kuala Perlis, baru-baru ini.


KANGAR 15 Julai - Semua 53 keluarga mangsa kebakaran yang ditempatkan di Rumah Pangsa Kuala Perlis di sini, meminta kerajaan menyediakan kediaman kekal buat mereka seperti yang dijanjikan 16 tahun lalu.
Mangsa-mangsa bencana itu mahu kerajaan mengotakan janji selari dengan slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.
Rata-rata mangsa terlibat dalam suasana tidak selesa kerana sejak selepas kebakaran 7 Februari 1994, kehidupan keluarga terlibat ternyata tidak selesa, terutama apabila kediaman sementara sekarang sempit dan rosak teruk.
Mereka yang terlibat mendakwa, pihaknya terpaksa mengadakan sidang akhbar sambil membawa para wartawan menyaksikan sendiri status kediaman sekarang, setelah masalah yang dikemukakan kepada beberapa pihak selama ini tidak mendapat perhatian.
Salah seorang daripadanya, Badelishah Md. Jusoh, 50, berkata, mereka sepakat untuk mengadakan sidang akhbar kerana rungutan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri seperti diabaikan.
"Kami sudah meminta pertolongan daripada semua pihak yang sepatutnya. Ini termasuklah wakil-wakil rakyat dahulu dan sekarang. Namun demikian, nasib kami tetap tidak berubah.
"Jadi, kami sepakat memanggil para pemberita. Mahu diceritakan masalah yang sudah lama. Anda (wartawan) boleh tengok sendiri rumah-rumah kami yang rosak teruk," ujarnya di sini baru-baru ini.
Keluarga Badelishah adalah salah sebuah daripada 53 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Seberang Tok Pi pada pada 7 Februari 1994.
Masalah yang sama turut disuarakan oleh Mohd. Noor Zainon, 27, yang kecewa kerana selepas kebakaran, mangsa dijanjikan ditempatkan di flat di Kampung Padang Cina di sini, tetapi flat tersebut sekarang sudah didiami oleh penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Selepas kebakaran tersebut, kata beliau, keluarga mangsa diberi RM120 sebulan untuk menyewa di kediaman pilihan sebelum ditempatkan di Rumah Pangsa Kuala Perlis.
"Anda (wartawan) boleh melihat sendiri kedudukan kediaman kami. Flat ini sudah terlalu uzur. Terlalu banyak tempat yang retak. Sekarang, difahamkan kami mesti berpindah ke Pangsa Puri Seri Sena di Kampung Bakau di pinggir bandar Kangar.
"Saya difahamkan kami kena menetap di sana tiga tahun sementara menunggu flat ini siap dibaik pulih. Kami nelayan, kena duduk di bandar dan terpaksa berulang ke sini. Harap kerajaan dapat menyediakan tempat yang sesuai di sini," ujarnya.
Keluhan Mohd. Noor itu turut diakui oleh seorang lagi mangsa kebakaran 1994 iaitu Aishah Mat Hassan, 57.
"Sebahagian daripada mangsa kebakaran itu adalah ibu tunggal yang bekerja di Kuala Perlis. Jika terpaksa tinggal di Pangsa Puri Sena di bandar Kangar, ia membebankan golongan tersebut kerana telah bekerja di sini.
"Saya berharap sangat supaya kerajaan lebih prihatin terhadap masalah rakyat. Kalau kami dibiarkan terus begini, ia tidak menepati apa yang dijanjikan dahulu," ujarnya.
Endon Hamzah, 51, juga kecewa dengan pelbagai janji wakil-wakil kerajaan sekarang dan sebelum ini yang disifatkannya hanya bertindak untuk 'menyenangkan' mangsa kebakaran buat sementara waktu sahaja.
"Dulu kami dijanjikan kediaman kekal. Mereka berjanji dalam masjid. Namun begitu, apa yang kami perolehi sekarang ialah masih menetap di sini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment