Friday, July 16, 2010

Peneroka tanah haram putih mata



LANCHANG – Padah menimpa sekumpulan peneroka tanah haram di sini apabila tanaman yang diusahakan sejak lebih setahun lalu di atas kawasan tanah yang digazet untuk pembangunan penempatan baru akhirnya dimusnahkan pihak berkuasa. 

Kawasan hutan seluas 60 hektar yang dicerobohi dengan tanaman kelapa sawit dan pisang di atas tanah kerajaan dekat sempadan Kampung Bolok dan Felda Bukit Damar dimusnahkan dalam satu operasi semalam. 

Tindakan diambil Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh dan Penguat kuasa Pejabat Tanah Galian (PTG) Pahang kira-kira jam 10 pagi semalam disertai 34 pegawai dan anggota jabatan berkenaan setelah menerima aduan awam berkaitan kerja pencerobohan yang dilakukan sejak lebih setahun lalu. 

Operasi yang berakhir kira-kira jam 1 petang semalam itu terpaksa diambil setelah beberapa amaran dan notis ditampal pihak berkuasa di tapak penerokaan sejak beberapa bulan lalu. 

Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr Sallehuddin Ishak berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima aduan awam berkenaan pencerobohan berkenaan yang dilakukan di atas tanah yang digazet untuk pembangunan rancangan tanah kelompok penduduk Kampung Bolok Hulu/Sokmik. 

Menurutnya, operasi semalam adalah memusnahkan tanaman baru seperti pisang dan kelapa sawit untuk mengelakkan pembukaan tanah haram itu berterusan. 

“Operasi diketuai PTG dan kita (pejabat tanah) hanya membantu dengan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara. 

“Kita hanya jalankan tugas di sisi undang-undang walaupun simpati dengan usaha peneroka berkenaan mengusahakan tanah itu,” katanya sewaktu dihubungi semalam. 

Sallehuddin berkata, tindakan terpaksa diambil kerana ada orang awam yang tidak bersetuju dengan tindakan peneroka berkenaan yang menceroboh tanah secara haram. 

Beliau menasihati mana-mana pihak yang mahukan tanah supaya mengikut saluran yang betul supaya tidak timbul masalah seperti kes tersebut. 

Turut sama dalam operasi semalam tujuh anggota polis yang membantu dari segi keselamatan kakitangan awam yang bertugas dan tiga petugas media.

No comments:

Post a Comment