Friday, July 16, 2010

Mohd. Nor dibebaskan, pulang temui Wook



Mohd. Noor Che Musa, suami kepada Wook Kundor (gambar kanan) keluar dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di Besut, semalam.


BESUT 15 Julai - "Sepanjang ditahan, ingatan tak lekang kepada dia. Selepas ni saya nak ke pondok untuk mendalami dan tumpu pada ilmu agama selain mencari pekerjaan yang sesuai bagi menyara kehidupan kami suami isteri."
Itu luahan Mohd. Noor Che Musa, 38, suami kepada Wook Kundor, dipercayai berusia 108 tahun sejurus dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut dekat sini hari ini.
Selain itu, dia juga berazam mendekatkan diri dengan orang ramai dan surau supaya tidak berasa terpinggir dalam masyarakat setelah keluar daripada Puspen.
Baginya, pengalaman selama 12 bulan lapan hari semasa di Puspen Sungai Besi, Selangor sebelum dipindahkan ke Puspen Besut akhir tahun lalu membawa keinsafan kepadanya.
Katanya, semasa tempoh itu dia banyak belajar mengenai tanggungjawab bukan sahaja kepada diri dan keluarga malah masyarakat luar dan pembaharuan yang perlu dilakukan dalam kehidupannya nanti.
"Selama ini saya tidak sedar tanggungjawab dan nilai-nilai yang perlu ada pada seorang insan dan manusia tetapi hasil tunjuk ajar daripada kakitangan Puspen di sini telah membuka segalanya," ujar beliau.
Mohd. Noor telah dimasukkan ke Puspen Sungai Besi pada 7 Julai tahun lalu sebelum dipindahkan ke Puspen Besut pada 31 Disember tahun lalu atas permintaan Wook yang sukar untuk menziarahi Mohd. Noor.
"Hasil pelbagai program agama dan kaunseling yang diberikan selain sokongan ahli keluarga, telah memberikan kesan mendalam untuk saya berubah.
"Sepanjang di sini Alhamdulillah saya diberikan kekuatan untuk menunaikan solat dhuha dan tahajud setiap hari dan di samping itu program qiamullail dan membaca al-Quran memberikan kekuatan kepada saya," ujarnya.
Mohd. Noor juga mengakui Puspen telah mematangkannya dan menjadi tempat mengadu dan rujukan kepada pelatih yang menghadapi pelbagai masalah.
Dalam pada itu, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan yang sentiasa rindu dan bimbangkan keadaan kesihatan isteri tersayang selama proses dia menjalani pemulihan di Puspen itu.
"Wook sentiasa berpesan supaya tidak tinggal sembahyang dan banyak membaca al-Quran dan nasihat ini saya ikuti kerana percaya dengan cara ini saya mampu pulih dengan cepat," jelasnya.
Sebelum ini, kisah perkahwinan lelaki itu dengan wanita yang 70 tahun lebih tua daripadanya lima tahun lalu dan perkahwinan kali ke-23 bagi warga emas itu mendapat liputan meluas media seluruh dunia.
Mohd. Noor kemudian bertolak ke Tanah Merah, Kelantan untuk ke rumah anak saudara yang menjemputnya hari ini, sebelum menemui isterinya yang kini tinggal sementara di Beris, Bachok.
"Selepas ini saya nak menemui Wook dan akan berbincang sama ada akan mengadakan majlis kesyukuran setelah pulang ke Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang," jelasnya.
Sementara itu, Komandan Puspen Besut, Rohayu Ahmad memberitahu, Mohd. Noor menunjukkan disiplin tinggi dan tidak pernah melanggar peraturan dan melakukan kesalahan sepanjang tempoh berada di Puspen itu.

No comments:

Post a Comment