Friday, July 16, 2010

Kerajaan nafi beri kerakyatan kepada PATI



KUALA LUMPUR 15 Julai - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan kerajaan memberi taraf warganegara kepada pendatang haram dari Indonesia dan Kemboja dengan sewenang-wenangnya.
Menurut Hishammuddin, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali kerana taraf warganegara tidak akan diberikan dengan mudah apatah lagi hanya menerusi pertemuan pada majlis-majlis tertentu.
"Peraturan permohonan untuk menjadi warganegara adalah ketat. Justeru kita tidak mungkin mengedarkan kad pengenalan biru kepada sesiapa dengan begitu mudah," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Pas Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini bahawa pegawai kerajaan mengedarkan kad pengenalan biru pada satu majlis pertemuan yang dianjurkan oleh satu sindiket pada 15 dan 17 Jun lalu.
Mahfuz berkata, majlis pertemuan berkenaan bertujuan memberikan peluang kepada pendatang tanpa izin tersebut memohon menjadi warganegara Malaysia.
Tambahnya, beliau mengesyaki majlis pertemuan berkenaan diadakan secara haram dan ia melibatkan pegawai KDN, Jabatan Imigresen dan polis.
Sementara itu, Hishammuddin yang sedih kerana kementeriannya difitnah sebegitu meminta Mahfuz mengemukakan bukti dakwaannya itu untuk membolehkan siasatan dilakukan.
Menurut beliau, pihaknya sedang memproses permohonan warganegara yang dibuat oleh rakyat asing yang tinggal di negara ini sejak 20 hingga 30 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment