KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, semalam, berangkat ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menjalani rawatan susulan selama seminggu termasuk menukar tiub makanan di perutnya.
Baginda tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kira-kira jam 10.40 pagi semalam diiringi 11 kenderaan lain termasuk sebuah ambulans Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Bagaimanapun, usaha wartawan dan jurugambar membuat liputan ketibaan baginda bersama rombongan tidak berhasil kerana dilarang polis bantuan yang ditugaskan di pintu masuk.
Difahamkan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid dan anakanda ketiga baginda, Tengku Muhammad Fakry turut menghantar Sultan Kelantan menjalani rawatan di Singapura.
Selepas setengah jam tiba di lapangan terbang itu, Tuanku Ismail Petra dibawa menaiki pesawat khas Kerajaan Malaysia dan berlepas ke Singapura pada jam 11.10 pagi.
Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat turun dari kenderaan rasminya pada jam 10.15 pagi sebelum diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Abdul Fattah Mahmood, juga hadir di perkarangan lapangan terbang pagi semalam.
Tinjauan ke pintu masuk lapangan terbang itu mendapati permaidani kuning dibentangkan di sepanjang laluan masuk, manakala beberapa orang kenamaan hadir sama.
Sementara itu, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata Tuanku Ismail Petra berlepas ke Singapura kira-kira jam 11.10 pagi semalam dengan menaiki pesawat M53-01. “Keberangkatan baginda diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis serta kerabat Diraja Kelantan dan ahli keluarga terdekat. “Tuanku akan menjalani rawatan selama hampir seminggu dan dijadualkan pulang ke Kelantan pada 21 Julai ini,” katanya.
Minggu lalu, Abdul Halim berkata, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra memberi perkenan supaya ayahandanya dihantar ke hospital berkenaan sekiranya rawatan diperlukan tidak disediakan di negara ini.
Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM pada 14 Mei tahun lalu bagi menjalani rawatan selepas mengadu mengalami masalah pernafasan sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth.
Selepas menerima rawatan 10 bulan di Hospital Mount Elizabeth, baginda dibawa pulang ke Kota Bharu pada 4 Mac lalu.
No comments:
Post a Comment