Friday, July 16, 2010

Kawalan sempadan Limbang longgar



KUALA LUMPUR 15 Julai - Sesiapa sahaja boleh melintasi sempadan Malaysia di Limbang, Sarawak dengan mudah tanpa sebarang masalah walaupun menggunakan pasport orang lain.
Ia didedahkan oleh Hasbi Habibollah (BN-Limbang) semasa membahaskan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat hari ini.
Malah lebih teruk lagi apabila Hasbi mendedahkan: "Pernah berlaku seorang menantu lelaki secara tidak sengaja terambil pasport ibu mertuanya untuk melepasi sempadan, pun boleh lepas juga.
"Sekiranya menantu itu seorang wanita mungkin boleh dimaafkan tetapi dalam perkara ini menantu lelaki guna pasport ibu mertuanya yang sudah pasti seorang wanita.
"Nasib baik mereka ini orang baik- baik, apa cerita pula jika yang melepasi sempadan itu penyangak?" katanya.
Tegas Habibollah, sepatutnya kawalan ketat tanpa kompromi dilaksanakan di setiap pintu masuk sempadan negara tetapi malangnya perkara tersebut tidak berlaku di Limbang, yang penguatkuasaannya dikatakan terlalu longgar.
Beliau juga mencadangkan penempatan setiap anggota penguat kuasa di pintu-pintu masuk sempadan dihadkan supaya tidak melebihi tempoh tiga tahun, bagi memastikan budaya rasuah tidak sempat berakar umbi.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut seperti biasa terus mempertikaikannya dengan mendakwa ia akan menjadi sia-sia sekiranya tahap integriti agensi penguat kuasa tidak dipertingkatkan.

No comments:

Post a Comment