Sunday, July 4, 2010

'Cuti' lelaki miang rosakkan keluarga


Aktiviti tak sihat warga tempatan di negara jiran undang peningkatan kes perceraian 

MACHANG: Kecenderungan lelaki tempatan yang gemar berhibur secara terlampau di negara jiran terutama pada hujung minggu dikhuatiri menyumbang kepada keretakan institusi keluarga sekali gus meningkatkan risiko perceraian membabitkan pasangan di Malaysia.
Sambil menyuarakan kebimbangannya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menyifatkan perkembangan itu sebagai ‘bala’ yang mengundang padah, termasuk keluarga berantakan.
Sehubungan itu, beliau menasihati golongan lelaki tempatan supaya mengutamakan keluarga sebelum terjebak dalam gejala tidak sihat sedemikian. 

“Mereka sepatutnya memberikan sepenuh komitmen kepada keluarga masing-masing daripada mementingkan keseronokan semata-mata. 

“Sudah pasti tindakan ini akan menyumbang kepada keretakan institusi keluarga. Ini adalah salah satu punca perpisahan serta perceraian... janganlah mencari bala. 

“Kita memang tidak menggalakkan langsung budaya (berseronok di negara jiran secara melampau) ini menular. 
“Jagalah keluarga yang ada di depan hidung ini. Sudahlah di depan hidung pun tak terjaga, yang nak pergi ke seberang ini buat apa?” katanya selepas merasmikan Persidangan Wanita UMNO Bahagian Machang 2010 di sini, semalam. 

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Machang, Datin Rahimah Mahamad. 

Beliau mengulas laporan Berita Harian semalam mengenai pekan Golok, Narathiwat dan Danok, di Selatan Thailand serta Pulau Batam di Indonesia yang terus menjadi tumpuan rakyat Malaysia terutama lelaki untuk berhibur di hujung minggu. 

Selain tukaran mata wang asing yang lebih murah, keseronokan itu turut dikaitkan dengan tarikan hiburan serta khidmat seks di sana. 

Mereka sama ada pergi balik siang, bermalam atau pakej tiga hari dua malam, dengan alasan membeli-belah atau bermain golf, tetapi tujuan utama untuk menikmati pelbagai jenis hiburan seperti karaoke, urutan tradisional, spa serta keseronokan lain termasuk khidmat seks. 

Lelaki tempatan juga, seperti diakui tukang urut wanita di sebuah hotel dekat Sungai Golok, digambarkan sebagai pelanggan yang diharapkan kerana tidak lokek memberi tip. 

No comments:

Post a Comment