Sunday, July 4, 2010

Ezam desak KDN siasat



KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd Noor mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyiasat laporan portal berita portal web Malaysiakini dan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung nasib ‘malang’ yang menimpa buruh pembinaan Istana Negara yang kini sedang dalam pembinaan di Sri Hartamas, Jalan Duta. 

Menurutnya, KDN juga perlu menggantung permit penerbitan media terbabit kerana laporan berkenaan bukan sahaja berniat jahat malah mempunyai agenda politik untuk merosak dan memberikan imej buruk kepada institusi diraja. 

Beliau juga mengisytiharkan perang terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu berkenaan serta menganggap perbuatan mereka mengheret istana dalam kancah politik sebagai berniat jahat. 

Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, laporan yang disiarkan juga tidak tepat malah faktanya sengaja diputarbelitkan. 

“Laporan itu mempunyai agenda untuk merosakkan imej serta memberi gambaran buruk seolah-olah istana yang baru ini dibina daripada air mata rakyat jelata dan kos pembinaannya juga dikatakan dua kali ganda. 

“Kos berganda iaitu RM800 juta tidak benar tetapi RM16 juta. Perkara ni telah dinyatakan di Parlimen oleh menteri berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan tapak projek pembinaan Istana Negara, semalam. 

Beliau turut mempersoalkan tindakan sebuah akhbar berbahasa Inggeris memainkan isu berkenaan. 

“Saya juga mahu pemimpin MCA menjelaskan pendirian mereka berhubung isu ini kerana mereka merupakan pemegang saham akhbar terbabit,” katanya. 

Dalam laporan eksklusif pada 27 Jun, akhbar tersebut dalam laporan muka depannya mendakwa sekumpulan pekerja asing yang membina Istana Negara bernilai RM800 juta didakwa tidak menerima gaji bagi tempoh tiga bulan. 

Sementara itu, Malaysiakini kelmarin melaporkan kumpulan 10 orang diketuai Ahli Parlimen Batu, Tien Chua dilarang memasuki kawasan pembinaan itu seterusnya mencetuskan ‘ketegangan’ dengan penguat kuasa.

No comments:

Post a Comment