KASIH anak kepada ibu tidak ternilai harganya.
Keputusan Norliza Omar, 28, untuk berhenti kerja bersama-sama adiknya, Norhafizah, 23, supaya mereka dapat bergilir-gilir menjaga ibu yang sakit tenat sejak setahun lalu nyata pengorbanan kecil yang amat bermakna demi membalas kasih sayang insan yang berjasa besar dalam hidup mereka.
Penyakit angin ahmar dihidapi Siti Hawa Abu Bakar, 58, semakin lama semakin teruk. Akhirnya, penyakit berkenaan semakin menyukarkan perjalanan hidup wanita itu setelah dia disahkan koma dan hanya mampu terbaring di katil.
Menurut suami Siti Hawa, Omar Jali, 68, segalanya berlaku ketika isteri tersayang dan anak-anak menghadiri hari keluarga anjuran sebuah syarikat tempat anaknya bekerja. Ketika majlis rancak diadakan, tiba-tiba Siti Hawa pitam dan terus tidak sedarkan diri akibat pendarahan di kepala.
Berita itu amat menyedihkan mereka sekeluarga dan anak-anak seramai 11 orang itu saling berkongsi kepedihan.
"Ketika kejadian, hanya terdengar isteri saya menjerit sakit, sakit dan terus rebah. Itu jeritan suaranya yang terakhir. "Selepas membawanya kepada doktor dan melalui pembedahan, banyak komplikasi lain dikesan pada bahagian otak isteri saya itu. "Antaranya, dia tidak dapat menelan makanan sehingga memaksa ia dimasukkan menerusi tiub. Selain itu, saluran darah pada otak kirinya tersumbat. "Enam bulan selepas pembedahan, keadaannya semakin lama semakin lemah. Keadaan lebih terjejas teruk selepas pembedahan apabila dia koma hingga sekarang," kata pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini mengenai derita yang ditanggung isterinya sejak tiga tahun lalu.
Norliza berkata, keputusan dia dan adiknya untuk berhenti kerja bukan atas paksaan sesiapa sebaliknya atas kerelaan mereka berdua yang bertugas di bahagian pentadbiran di sebuah syarikat swasta.
Jasa ibu tiada tandingannya untuk dibalas dan untuk itu, katanya, apa yang terdaya dilakukan adalah memberi tumpuan buat ibu di saat dia sedang tenat.
"Melihat ayah sudah tua, saya berfikir perlu melakukan sesuatu untuk emak kerana tidak tahan melihat bebanannya itu.
"Lagipun, emak memerlukan perhatian rapi memandangkan sakitnya agak kronik. Dia tidak boleh dihampiri sesiapa yang tidak berkenaan sekiranya pelawat ada gejala demam atau penyakit tertentu kerana dibimbangi dijangkiti virus.
"Justeru, kami memastikan tahap kebersihan bilik emak seolah-olah di hospital. Itu syarat yang dikenakan doktor jika kami hendak menjaga emak di rumah yang memerlukan tahap kebersihan diselia serapi mungkin.
"Bahkan, untuk membersihkan emak, saya seorang mungkin tidak berdaya mengusung atau melakukan sendiri tanpa bantuan yang lain.
"Apabila adik turut berhenti kerja, rutin harian kami menjaga emak agak terurus. Apa yang penting, kami harus memastikan saluran makanannya iaitu susu khas yang disalur melalui tiub dapat berfungsi dengan baik di samping mengelak ia bertakung pada pundi kencing supaya tidak sampai ke otak. "Sekiranya berlaku takungan, ia akan memberi kesan terhadap ciri sakit sawan yang mungkin membahayakan," katanya ketika ditemui di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dia tidak menafikan kos perbelanjaan terutama pengurusan dan rawatan ibunya tinggi. Namun, abangnya iaitu anak keempat dalam keluarga yang berkhidmat sebagai pegawai di jabatan kerajaan banyak membantu meringankan beban kewangan keluarga.
"Untuk menguruskan keperluan asas emak, ia mencecah lebih RM1,500 sebulan. Paling mahal adalah susu khusus dan ia sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan tin sebulan selain lampin pakai buang serta barangan dan ubat-ubatan berkaitan.
"Pencen ayah sebagai pemandu tidak seberapa dan untuk itu, abang dan adik-beradik lain banyak berkorban untuk perubatan emak. Saya dan adik pula berusaha menjaga emak sebaik mungkin," katanya.
Mengenai bantuan, Omar mengakui tiada siapa yang tampil memberi bantuan. Jika diikutkan, jumlah perbelanjaan sudah banyak dikeluarkan buat isterinya terutama untuk membeli katil seperti kegunaan di hospital serta kerusi roda selain memastikan bilik sentiasa berhawa dingin.
"Kami pernah memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan katil yang agak mahal, tetapi permohonan kami ditolak. Memandangkan isteri terlantar teruk, anak-anak juga membuat permohonan untuk emak mereka yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tetapi sehingga kini tidak mendapat maklum balas.
"Ada juga ahli Umno dan Puteri datang melawat. Selebihnya, tiada langsung bantuan diterima. "Tidak dinafikan memang perit menanggung perbelanjaan bulanan yang agak besar. Kalau ada pihak yang prihatin untuk membantu, saya amat mengalu-alukan sumbangan terutama bantuan peralatan dan perubatan.
"Hati memang terharu kerana tidak dapat langsung hendak berbual dengan isteri sejak Julai 2007. Tetapi saya tidak putus asa dan terus berdoa supaya Tuhan menganugerahkan keajaiban kepadanya untuk dia pulih suatu hari nanti," katanya.
Dia sekeluarga turut menerima kunjungan beberapa anggota Puteri Umno Bahagian Pandan termasuk ketuanya, Zahida Zarikh Khan, baru-baru ini.
Jika ada pihak yang ingin membantu keluarga ini, hubungi 03-92842511.
No comments:
Post a Comment