Friday, July 23, 2010

Murugiah diterima anggota MIC


KUALA LUMPUR 22 Julai - MIC telah menerima permohonan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator, Datuk T. Murugiah (gambar) untuk menjadi anggota parti itu.
Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja Pusat (CWC) parti di sini hari ini, bagaimanapun berkata, anggota jawatankuasa majlis tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) yang telah dipecat itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam MIC.
Beliau berkata, ini selaras dengan perlembagaan MIC di mana anggota baru tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam tempoh tiga tahun.
"Saya suka mengumumkan kita telah menerima beliau sebagai ahli dalam MIC.
Keputusan telah dibuat dan saya mengucapkan selamat datang kepada beliau. Saya berharap beliau dapat menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Menteri demi kebaikan masyarakat India," katanya kepada pemberita.
Murugiah dilaporkan telah mengemukakan permohonan untuk menganggotai MIC baru-baru ini selepas dipecat oleh Presiden PPP, Datuk M. Kayveas tahun lepas berikutan perebutan kuasa dengan pemimpin parti itu.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan reaksi balas daripada PPP berhubung keputusan itu, Samy Vellu berkata: "Apabila kita buat keputusan, kita tidak bimbang tentang apa-apa perkara. Bila kamu pergi berperang, kamu tidak akan berpatah balik".
Beliau berkata, permohonan Murugiah hanya diluluskan selepas difikirkan secara mendalam dan parti mendapati "beliau seorang yang amat berguna kepada MIC".
Sementara itu, Samy Vellu berkata, satu mesyuarat khas telah diadakan semalam bagi membincangkan pelan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) termasuk mengenai usaha meningkatkan taraf hidup isi rumah 40 peratus terendah, membantu kanak-kanak dari golongan isi rumah ini mempertingkatkan pencapaian pendidikan dan kemahiran, memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk membantu kumpulan kurang mendapat manfaat, meningkatkan taraf hidup pekerja ladang serta memperkasakan wanita dalam sektor ekonomi.
Katanya, CWC juga memutuskan untuk menilai perlaksanaan RMK-10 setiap dua bulan sekali sementara ia akan dibincangkan dalam setiap mesyuarat CWC.
"Kita akan membincangkan dengan kerajaan mengenai beberapa soal kewangan, pinjaman perniagaan, pinjaman SME (perusahaan kecil dan sederhana), skim pinjaman mikro kerajaan untuk kumpulan sasar," katanya.
Beliau berkata, satu seminar mengenai isu politik semasa juga akan diadakan pada 24 Ogos dan akan dihadiri oleh pemimpin akar umbi MIC yang antara lain akan meneliti strategi bagi menarik sokongan lebih ramai kaum India dan juga mendaftar lebih ramai pengundi. — Bernama

No comments:

Post a Comment