Friday, July 23, 2010

Perkasa mahu tubuh parti satukan UMNO, Pas


SHAH ALAM 22 Julai - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan agar satu perlembagaan digubal untuk menubuhkan sebuah parti baru yang mengambil kira objektif Pas dan UMNO.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, cadangan itu merupakan pelan kedua yang boleh digunakan sekiranya rancangan menemukan UMNO dan Pas secara rasmi tanpa syarat sama ada dalam bentuk meja bulat atau muzakarah tidak berhasil.
''Dengan wujudnya parti baru, maka Pas dan UMNO boleh dibubarkan dan ahlinya bersatu dalam satu parti baru.
''Menggunakan kaedah ini tidak ada sesiapa yang menang atau kalah kerana kedua-dua parti akan melakukan rebranding demi untuk perpaduan Melayu Islam," kata beliau kepada pemberita di sini petang ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Perkasa Pusat di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, kedua-dua pelan itu perlu diusahakan oleh satu jawatankuasa bebas yang ditubuhkan khas bagi merealisasikan penyatuan antara UMNO dan Pas demi perpaduan Melayu Islam.
Ujar beliau, jawatankuasa itu yang boleh dinamakan sebagai Jawatankuasa Pemandu Perpaduan Melayu Islam perlu dianggotai tokoh ternama yang tidak terbabit dalam politik seperti mufti, cendikiawan dan bekas pegawai tinggi kerajaan.
Kata beliau, antara nama yang dicadangkan ialah Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
''Jawatankuasa ini berfungsi untuk merangkum dan mengumumkan cadangan bagaimana langkah-langkah perpaduan Melayu dapat diwujudkan antara UMNO dan Pas," jelas beliau.
Tambah beliau lagi, jika kedua-dua pelan yang diusahakan tidak berjaya, satu lagi pelan boleh digunakan iaitu jawatankuasa ini perlu membuat rumusan untuk mencari masalah yang menyebabkan penyatuan ini gagal.
Caranya kata beliau, ialah dengan mengenal pasti mereka yang degil dan tidak mahu perpaduan ini diwujudkan.
Selepas dikenal pasti ujar beliau, kumpulan yang degil ini perlu disisihkan kerana hanya yang menyokong perpaduan akan menjayakan usaha penyatuan ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Perkasa akan menjadi sekretariat dalam penubuhan tersebut, Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan terlibat kecuali jika diminta untuk berbuat demikian.
''Kita hanya buat cadangan. Lebih baik pihak lain seperti Persatuan Ulama yang menjadi sekretariat," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment