Monday, August 2, 2010

Dalang tangkapan ada kepentingan dalam Felcra

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) mendakwa dalang di sebalik penangkapan orang awam pada Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak semalam mempunyai kepentingan dalam Felcra.
Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, beliau sangat kecewa dengan penangkapan itu yang disifatkan sebagai mencabuli prinsip kebebasan rakyat untuk berhimpun.
"Saya sebagai Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat yang terlibat secara langsung dalam himpunan semalam sangat dukacita kerana prinsip kebebasan bersuara dan berhimpun telah dicabuli pihak polis yang saya percaya dalangnya orang yang ada kepentingan dalam hal-hal yang berkait dalam soal masyarakat Felcra," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini, hari ini.
Beliau memberitahu, seramai 16 orang ditahan ketika mereka cuba memasuki premis tempat perhimpunan berlangsung dan tiga daripada mereka masih menunggu untuk direman.
Mazlan berkata, tindakan pihak polis menggunakan masjid di kawasan sekitar untuk memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan tersebut bersifat keterlaluan dan menyekat oang ramai daripada menyampaikan segala ketidakpuasan hati mereka terhadap pengurusan Felcra.
"Sangat mendukacitakan apabila mereka menggunakan masjid, pihak polis sendiri mengumumkan selepas solat Jumaat di lima buah masjid dalam kawasan Pasir Salak tentang himpunan ini dan memberi kata putus sekiranya orang ramai datang pihak polis akan membuat tangkapan.
"Kemudian timbalan ketua polis negeri Perak membuat kenyataan yang disiarkan di radio Perak bahawa orang ramai yang datang dalam himpunan akan diambil tindakan, kenyataan yang sama dibuat selepas pengumuman di masjid.
"Ini satu tindakan yang sangat keterlaluan dan bagaimana motto kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang bercakap soal rakyat didahulukan?
Tambahnya, himpunan tersebut diadakan adalah untuk membantu kerajaan mendengar masalah warga Felcra bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan daripada resolusi yang dicapai.
Namun, kerajaan langsung tidak memberi peluang kepada mereka untuk meluahkan masalah sebaliknya menggunakan kekerasan kepada peserta himpunan.
"Sebenarnya kita buat perhimpunan ini kita nak membantu kerajaan dengar suara tidak puas hati daripada rakyat. Bila suara ini sampai kepada kita, kita jadikan suatu resolusi dan kita akan serahkan kepada kerajaan.
“Tapi kalau awal-awal lagi sekatan dibuat untuk menghalang orang ramai terutamanya mereka yang terbabit terdiri daripada peserta Felcra ini suatu yang sangat mendukacitakan dan sangat bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh perdana menteri," katanya.
Mazlan turut mempertikai kenyataan Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman bahawa Felcra tidak mempunyai masalah sedangkan berpuluh-puluh aduan rasmi diterimanya daripada peserta Felcra.
"Kalau Datuk Tajuddin kata Felcra tak ada masalah dan Felcra telah menyempurnakan visi dan misi mereka untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat, kenapa kita menerima banyak aduan secara rasmi daripada wakil peserta di seluruh negara sejak setahun kebelakangan ini.
"Mereka mengadu kepada saya dan mendesak langkah diambil kerana sudah bosan dengan pihak pengurusan Felcra dan kita ambil jalan buat himpunan untuk dengar aduan mereka," katanya
.
SUMBER
RAKYAT MARHAEN: Dalang tangkapan ada kepentingan dalam Felcra

No comments:

Post a Comment