Monday, August 2, 2010

Penduduk tagih janji wakil rakyat siapkan jambatan



Abdul Halim Omar (tengah) bersama sebahagian penduduk menyuarakan bantahan berikutan kegagalan wakil rakyat menunaikan janji di Kampung Pengkalan Cina, Bachok, semalam.


BACHOK 1 Ogos - Janji pemimpin Pas yang dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 untuk menyiapkan jambatan yang lebih selamat di Kampung Pengkalan Cina ke pusat bandar di sini kini dituntut penduduk kampung itu dengan mengadakan perhimpunan secara aman, semalam.
Seramai 300 penduduk berhimpun untuk mengingatkan kembali pemimpin tertentu yang dikhuatiri sudah lupa janji-janji yang mereka buat ketika memancing undi rakyat kira-kira tiga tahun lalu.
Ketiadaan kemudahan itu menyebabkan penduduk di kampung berkenaan sukar untuk berulang-alik ke pusat bandar, kecuali menggunakan jambatan rakit yang dibina sendiri oleh penduduk di kampung berdekatan iaitu Kampung Jelujur.
Kini yang kelihatan adalah papan tanda pembinaan jambatan yang tertulis 'siap pada 2010' tetapi hanya terdapat besi dan kerangka di tebing sungai berkenaan.
Penyelia Pembangunan Mukim (PPM), Abdul Halim Omar berkata, wakil rakyat terbabit sepatutnya melawat ke kawasan berkenaan untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk termasuk mengemukakan semula permohonan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, peruntukan bagi pembinaan jambatan itu adalah RM2.5 juta dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang waktu itu tetapi projek pembinaannya masih terbengkalai.
"Bagaiamanapun yang peliknya, bekas Ahli Parlimen Bachok ketika itu, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin telah meluluskan pembinaan jambatan yang sama bernilai RM250,000 tetapi disekat pula oleh kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, tindakan penduduk mengadakan perhimpunan adalah untuk menagih simpati dan merayu kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan supaya membina semula jambatan itu.
Seorang penduduk, Ali Mahmood, 53, berkata, jambatan itu adalah keperluan utama penduduk termasuk pelajar yang berulang-alik ke sekolah dan ia adalah satu-satunya projek pembangunan bagi masyarakat kampung berkenaan.
"Kalau berjanji biarlah tunai janji itu dan bukannya bertujuan memancing undi ketika pilihan raya. Rakyat ingat setiap janji yang dilafazkan. Papan tanda pembinaan tercacak di situ tetapi projeknya tidak dilaksanakan," katanya kesal.
Azizah Abdul Kadir, 49, pula berkata, ketiadaan jambatan itu menyebabkan ibu bapa terpaksa menggunakan jalan alternatif dalam jarak yang jauh untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
"Ada juga beberapa kemalangan yang berlaku termasuk pengguna jambatan rakit yang terjatuh ke dalam sungai tetapi berjaya diselamatkan. Bagaimana kalau pengguna itu mati lemas dalam kemalangan yang tidak dapat diduga, siapa yang patut dipersalahkan?" soalnya.
Azizah berkata, adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan mengambil-alih projek berkenaan demi keselesaan rakyat dan penduduk tidak perlu lagi menunggu dan berharap pada janji manis yang ditaburkan pada waktu tertentu sahaja.
Katanya, sekiranya kerajaan negeri tidak berkemampuan untuk membina jambatan itu, ia perlu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan memandangkan tempoh siap pembinaannya sudah melebihi tarikh sebenar.
"Hakikatnya, projek pembinaan jambatan itu hanya mampu dilihat dengan mata sahaja tetapi sampai bila ia boleh digunakan. Mungkinkah projek ini akan disambung semula menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment