Kemoterapi penambah derita
GELANG PATAH – Perubahan sikap yang kelihatan murung dan lebih suka tidur apabila pulang daripada sekolah menimbulkan tanda tanya oleh seluruh keluarga dan yang paling mengejutkan apabila remaja itu disahkan mengidap kanser buah pinggang tahap empat.
Keadaan itu ternyata berbeza dengan karakter sebenar Muhammad Fitree Mohd Johari, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Jaya, di sini, yang aktif dalam menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum di sekolahnya selain seorang yang periang.
Menurut ibunya, Hafizah Ariffin, 48, sejak Januari lalu Fitree bukan sahaja banyak mengasingkan diri malah anak keempat daripada lima adik-beradik itu juga tidak selera untuk menjamah makanan.
“Sehinggalah Februari lalu Fitree terjatuh kerana tersadung selain tidak sedarkan diri menyebabkan kami mengambil keputusan membawanya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,” katanya.
Katanya, hasil daripada pemeriksaan doktor ternyata memberi perkhabaran yang mengejutkan buat dirinya apabila Fitree disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap keempat selain dikehendaki membuat rawatan kemoterapi.
“Kami bersetuju asalkan Fitree dapat sembuh seperti sediakala namun kesan daripada rawatan itu telah menjadi punca kepada kerosakan hati sehingga bahagian tubuhnya membengkak kerana mengandungi air berlebihan,” katanya.
Katanya, semenjak itu juga bahagian perutnya turut membengkak sehingga timbul urat berwarna hijau dengan jelas menyebabkan Fitree tidak mampu untuk berjalan selain itu dia tiada selera makan sehingga berat badannya turun mendadak.
“Setiap minggu juga kami perlu membawa Fitree untuk menjalani rawatan di hospital bagi mengeluarkan air di dalam badannya itu kerana jika tidak dikeluarkan ia akan ‘menghimpit’ organ dalaman membuatkan dia tidak dapat bernafas dengan selesa,” katanya.
Hafizah berkata, beliau sekeluarga tidak berputus asa walaupun doktor menjelaskan anaknya tidak mempunyai harapan untuk sembuh dengan turut mencuba rawatan tradisional termasuk membeli ubat tambahan membabitkan kos mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Rakan suami telah memperkenalkan kami dengan tonik hati selain ubatan herba bagi membantu menyembuhkan kerosakan hati dan membunuh sel kanser yang ada di dalam badan Fitree dan kami bersyukur kesihatannya menunjukkan perkembangan positif,” katanya.
Katanya, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala dirinya yang tidak bekerja kerana perlu menjaga Fitree sepenuh masa ternyata berhadapan dengan masalah kewangan bagi membayar kos rawatan anaknya.
“Kami telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih sebulan lalu dan diminta untuk menunggu kerana permohonan yang dikemukakan sedang diproses,” katanya.
Hafizah sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekolah Fitree dan Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Pandak Ahmad, yang sudi melawat anaknya itu.
Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Fitree sekeluarga, hubungi 013-7144485 (Hafizah).
No comments:
Post a Comment