Friday, August 27, 2010

KMA buat laporan polis kali keempat


PULAU PINANG 26 Ogos - Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Mohamed Ghani Abd. Jiman hari ini membuat laporan polis keempat terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana Setiausaha Agung DAP itu didakwa sekali lagi memburuk-burukkan namanya berikutan isu bazar Ramadan di kompleks tersebut.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Patani di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.
Mohamed Ghani berkata, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Timur Laut yang dihadiri kira-kira 250 orang semalam, Guan Eng dikatakan menuduhnya mengutip bayaran sewa daripada peniaga melebihi kadar sepatutnya.
Menurutnya, walaupun tidak berada dalam mesyuarat berkenaan, beliau mempunyai bukti dan saksi yang merakamkan kejadian itu.
"Saya cabar dia (Guan Eng) bersemuka dengan saya mengenai perkara ini, bukan dengan memfitnah diri saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mingguan Malaysia pada 8 Ogos lalu melaporkan, Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut setiap kali bulan puasa.
Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan pada 9 Ogos lalu mengenai keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan keesokan harinya.
PDC pula mendakwa KMA selaku penganjur gagal membayar sewa dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Mohamed Ghani memberitahu, beliau kesal dengan sikap Guan Eng yang suka memutar-belitkan fakta.

No comments:

Post a Comment