Friday, August 27, 2010

Taliban mahu serang operasi bantuan


WANITA Pakistan ini menjaga bayinya yang menderita sakit cirit-birit di wad pediatrik hospital di Sukkar, negeri Sindh di selatan Pakistan, kelmarin. Mereka adalah antara beribu-ribu mangsa banjir terburuk di negara itu – AP


WASHINGTON 26 Ogos – Anggota Taliban Pakistan dilapor sedang merancang serangan terhadap rakyat asing yang menyertai operasi bantuan banjir di negara itu, demikian satu amaran yang dinyatakan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS).
“Menurut maklumat yang diterima kerajaan AS, kumpulan Tehrik-e Taliban merancang untuk menyerang rakyat asing yang terlibat dalam operasi bantuan banjir di Pakistan.
“Kumpulan itu juga mungkin membuat rancangan untuk menyerang menteri-menteri persekutuan dan wilayah di Islamabad,” kata beliau kepada AFP tanpa mendedahkan namanya.
Banjir buruk di Pakistan menjejaskan kira-kira 17.2 juta penduduk, dengan sekurang-kurangnya lapan juta dipercayai memerlukan bantuan kemanusiaan.
Sehingga kini, AS dan negara-negara lain telah menjamin bantuan kewangan lebih AS$700 juta (RM2.24 bilion) bagi usaha bantuan.
Pegawai AS berkata, pihaknya tidak berdepan situasi membahayakan semasa menerbangkan bantuan ke wilayah-wilayah bergolak di Pakistan.
Sementara itu, pegawai Pakistan menggesa mangsa yang berada di tiga bandar di selatan negara supaya berpindah segera setelah banjir melimpahi benteng, sekali gus membahayakan kawasan yang masih belum dilanda bencana berkenaan.
Pegawai tertinggi kerajaan di daerah Thatta, Mansoor Sheikh berkata, air Sungai Indus telah melimpahi benteng di selatan wilayah Sindh lewat malam tadi, mengancam bandar-bandar Sujawal, Daro dan Mir Pur Batoro.
Katanya, hampir semua daripada 400,000 penduduk di tiga bandar itu telah berpindah, namun penduduk yang masih berdegil diarah segera meninggalkan bandar-bandar tersebut.
Banjir buruk yang melanda Pakistan hampir sebulan lalu, telah memusnahkan sebahagian besar negara itu dari kawasan pergunungan di utara ke kawasan tengah yang terkenal dengan aktiviti pertanian. – AFP/AP

No comments:

Post a Comment