Sunday, August 1, 2010

Pelajar terbabit kumpulan gengster





KUALA LUMPUR 31 Julai - Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyarankan pelaksanaan program pemutihan ke atas para pelajar sekolah yang terlibat dalam kegiatan kumpulan gengster supaya masalah itu dapat dibanteras sepenuhnya.
Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, program itu boleh dilaksanakan kerana ketika ini pihak polis sudah mempunyai maklumat dan mengenal pasti sekolah-sekolah yang pelajarnya terlibat dalam kegiatan tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat tersebut, program pemutihan yang meliputi kaunseling, kelas bimbingan, kursus bina diri dan pelbagai aktiviti positif boleh diadakan bagi memulihkan para pelajar berkenaan.
"Program pemutihan ini bertujuan mengembalikan jati diri pelajar terbabit agar menjadi manusia berguna kepada keluarga dan negara di masa hadapan.
"Malah pihak masjid dan surau juga boleh membantu menyediakan program agama kepada pelajar terutamanya pada waktu lepas sekolah supaya mereka tidak membuang masa sehingga terjebak dalam gejala sosial," katanya kepada ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai trend peningkatan pelajar yang menjadi mangsa keganasan kumpulan gengster.
Muhyiddin berkata, peningkatan itu mengganggu proses pembelajaran serta mendatangkan ancaman kepada keselamatan pelajar apabila kumpulan gengster berkenaan cuba merekrut ahli baru di kalangan pelajar.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, semua pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan polis perlu bekerjasama secara berterusan dalam memantau kegiatan kumpulan gengster di sekolah.
Katanya, pihak sekolah wajar bekerjasama secara aktif dengan pihak polis seperti mengadakan ceramah berkaitan salah laku jenayah sebanyak dua kali sebulan bagi memastikan pelajar yang terlibat dalam kumpulan gengster merasakan sentiasa dipantau dan diperhatikan oleh pihak polis.
"Ibu bapa juga perlu memantau kegiatan anak mereka terutamanya selepas waktu sekolah sama ada mereka terlibat dengan aktiviti sekolah atau kegiatan jenayah.
"Sekiranya mereka pergi ke kelas tuisyen, hubungi pengajar mereka sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk memastikan kehadiran anak mereka,'' katanya.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli masyarakat perlu melaksanakan program pendidikan dan penerapan budaya antijenayah secara berterusan.
Beliau berkata, program tersebut merupakan keperluan penting kepada pelajar untuk mencapai keseimbangan pembangunan ekonomi, sosial dan moral negara ketika ini dan pada masa depan.
"Pelajar perlu dididik supaya saling menghormati, patuh kepada undang-undang, yakin pada diri sendiri dan terbuka terhadap perbezaan agama, adat, budaya dan kepercayaan orang lain.
"Semua pihak harus mengambil berat masalah gengster ini walaupun hanya bilangan kecil pelajar yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment