Sunday, September 5, 2010

Ibu rayu bantuan anak OKU





MAHANI Hashim dipangku ibunya, Jalilah Yaacob ketika hendak makan dan menjalani kehidupan harian di Taman Mutiara, Jerantut, Pahang, semalam.


JERANTUT 4 Sept. - Meskipun usianya sudah mencecah 32 tahun, kehidupannya bagaikan seorang bayi gara-gara diserang demam panas dan sawan ketika berusia enam bulan.
Bagi Mahani Hashim @ Hasin, laungan takbir raya pada pagi 1 Syawal mungkin tidak memberi sebarang makna kepadanya yang diselubungi kecacatan kekal.
Segala urusan kehidupan hariannya juga terpaksa diuruskan oleh ibunya, Jalilah Yaacob, 46, kerana Mahani hanya mampu terlantar.
Anak sulung daripada tiga beradik itu tidak mampu bergerak dan bercakap seperti insan normal lain malah tidak mengerti suasana kemeriahan dan persiapan raya yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi.
Menurut Jalilah, anak daripada perkahwinan pertamanya itu mengalami kecacatan sejak berusia 6 bulan selepas menghidap demam panas dan diserang sawan.
"Anak saya telah menjalani rawatan dan menerima sebanyak 84 kali suntikan, selain air tulang belakangnya diambil untuk kajian dan pemeriksaan bagi mengenal pasti penyakitnya.
"Ketika dilahirkan, anak saya normal tetapi lama kelamaan dia sering mengalami kekejangan, kemudian fizikalnya berubah menjadi keras sehingga pergerakannya terbatas dan berbaring setiap masa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mutiara di sini, hari ini.
Menurutnya, kecacatan Mahani tidak dapat dipulihkan lagi kerana doktor memaklumkan kuman dipercayai telah merebak ke bahagian otaknya sehingga mengganggu saraf dan menjadi cacat.
"Namun, sebagai ibu yang melahir dan membesarkannya, saya reda dengan ujian Allah walaupun sedih dan terharu setiap kali tiba Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Jalilah memberitahu, ketika dia keluar membantu suaminya, Mohd. Zauri @ Mohd. Zahari Mat Husin, 47, berniaga di bandar Jerantut, dia terpaksa meninggalkan Mahani di rumah di bawah jagaan anak-anaknya yang lain.
"Walaupun berat meninggalkan rumah, saya terpaksa keluar berniaga membantu suami, kerana kami memerlukan perbelanjaan menampung persekolahan anak dan keperluan di rumah.
"Ini ditambah dengan beban perbelanjaan membiayai perubatan dan kebajikan Mahani, iaitu menyediakan lampin pakai buang dan makanan khas," katanya.
Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri ujarnya, tidak ada kuih muih dihidangkan kerana urusan kebajikan Mahani perlu diberi keutamaan.
Jalilah bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 untuk membantu Mahani sejak dua tahun lalu bagi meringankan bebannya.
"Namun, anak saya tidak pernah menerima bantuan lain seperti yang dinikmati oleh orang kurang upaya (OKU) iaitu wang zakat dan sumbangan yang sesuai dengan penderitaan yang dialaminya," katanya.
Sehubungan itu, dia memohon pihak tertentu menyenaraikan anaknya di bawah kategori OKU yang layak menerima bantuan.
"Saya menagih harapan agar pihak berkaitan membantu meringankan beban penderitaan anak ini kerana pendapatan harian kami sangat kecil untuk menguruskan perbelanjaan keluarga," katanya.

No comments:

Post a Comment