WARAN tangkap yang dikeluarkan berikutan kegagalan beberapa selebriti seperti Badrul Muhayat, Ako Mustapha dan Raja Azmi Raja Sulaiman hadir perbicaraan di mahkamah menyingkap fenomena betapa segelintir individu di negara ini mengambil mudah sepina atau surat yang meminta seseorang hadir sebagai saksi di mahkamah.
Hingga kini, menurut Pegawai Pentadbiran Mahkamah Sesyen/ Majistret Ampang Jaya, Asisten Superitenden Dr. Vasu Appu, ramai yang tidak menyedari implikasi sepina.
Waran tangkap bermula apabila mahkamah mengeluarkan sepina supaya individu terbabit hadir ke mahkamah pada tarikh perbicaraan.
Penerima harus menandatangani notis tersebut dengan satu salinan disimpan oleh pihak pendakwa raya.
“Menandatangani sepina tersebut bermaksud penerima bersetuju untuk hadir ke mahkamah.
“Di bawah notis tersebut juga secara jelas tertulis, penerima wajib hadir dan jika tidak, tindakan akan diambil,” kata Vasu.
Vasu menjelaskan, terdapat perbezaan antara proses pengeluaran waran tangkap bagi individu yang menjadi saksi dan orang kena tuduh (OKT).
Bagi saksi, sepina akan dikeluarkan sebanyak tiga kali sebelum waran tangkap digunakan.
Bon
Untuk OKT pula, ia tidak membabitkan sepina tetapi bergantung pada jumlah bon yang ditetapkan oleh mahkamah.
Merujuk kes Raja Azmi, Vasu berkata walaupun Raja Azmi hanyalah saksi bagi satu kes sivil, ketidakhadiran beliau ke mahkamah mengakibatkan waran tangkap dikeluarkan.
“Apabila dikenakan waran tangkap, nama individu tersebut akan berada di dalam pangkalan data polis secara automatik.
“Tangkapan akan dibuat serta-merta sebaik sahaja individu terbabit dikesan dan dia akan dirujuk segera ke mahkamah yang mengeluarkan waran tangkap tersebut,” jelas Vasu.
Waran tangkap dikeluarkan pada hari yang sama prosiding dijalankan.
Lebih menarik, ia tidak mempunyai tarikh luput dan berkuat kuasa selagi mahkamah belum memutuskan untuk melucutkan waran tangkap tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Lim Yee Lan mengeluarkan waran tangkap terhadap penerbit filem ...Dalam Botol itu kerana kegagalannya hadir pada 12 Julai lalu yang menyebabkan prosiding mahkamah terganggu sekali gus mengakibatkan kelewatan perbicaraan kes tersebut.
Sepina untuk memaklumkan kehadirannya ke mahkamah telah diserahkan pada 9 Julai lalu, pukul 8.15 malam yang diletakkan di bonet kereta Mercedez Benz B170 bernombor pendaftaran WRC 9945 selepas Raja Azmi dikatakan enggan menerimanya.
Kereta berkenaan ketika itu berada di tempat letak kereta Hotel Flamingo, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, iaitu tempat majlis perkahwinan kali kedua pemain badminton negara, Roslin Hashim, 35, bersama Norhayati Othman, 38, berlangsung.
Alasan
Bagi Raja Azmi, penahanannya di lokap mendidik dirinya agar mematuhi undang-undang.
Dalam pengakuannya kepada Kosmo! sebelum ini, Raja Azmi berkata beliau telah membuat kesilapan apabila tidak mengambil peduli hal undang-undang dan penjara.
Menurut Vasu, kebanyakan waran tangkap membabitkan kes kecurian kenderaan bermotor dengan 75 peratus melibatkan saksi atau pengadu kecurian motosikal dan kereta.
“Ini terjadi kerana kebanyakan pengadu telah menjumpai semula kenderaan mereka atau sudah mendapat pampasan insurans, jadi mereka rasa tidak perlu lagi hadir ke mahkamah” kata Vasu.
Dalam kes OKT, adalah menjadi tanggungjawab penjamin untuk memastikan individu tersebut hadir ke mahkamah setiap kali prosiding diadakan.
Kata Vasu, sekiranya gagal, penjamin tersebut akan dipanggil oleh majistret untuk memberi penjelasan.
“Penjamin perlu memberi alasan munasabah dengan disertakan bukti agar wang jaminan tidak dirampas oleh mahkamah.
“Ini semua termaktub di bawah Seksyen 404, prosedur mengenai pelucutan bon,” Vasu memberi amaran.
Beliau menambah, prosedur pengeluaran sepina dan waran tangkap mahkamah sivil dan syariah adalah sama.
Tegasnya lagi, banyak implikasi yang timbul jika sepina tidak diendahkan oleh penerima.
Bukan saja mereka menjadi buruan pihak berkuasa, individu terbabit juga boleh dianggap menghina mahkamah.
“Banyak alasan yang diterima berikutan kegagalan saksi hadir di mahkamah.
“Yang paling popular ialah mereka tidak ingat tarikh perbicaraan, sakit atau tidak menerima sepina.
“Ini jelas menunjukkan sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab dalam menegakkan keadilan,” kata Vasu kesal.
No comments:
Post a Comment