Wednesday, September 29, 2010

Jenazah Chek Hashim selamat dikebumi



Anak-anak Allahyarham Chek Hashim Sulaima (gambar kecil) menyiram air mawar ke pusaranya di Tanah Perkuburan Kampung Kerinting, Gua Musang, semalam. – utusan/Rosni Masri


GUA MUSANG 28 Sept. – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah paru-paru petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kerinting dekat sini kira-kira pukul 1.30 pagi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz, Bandar Baru Gua Musang yang diimamkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Turut hadir, kepimpinan Pas Kelantan termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Nasuruddin Daud dan Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Datuk Norzula Mat Diah yang juga ADUN Paloh.
Kira-kira 500 penduduk di kawasan tersebut hadir pada majlis pengkebumian tersebut.
Chek Hashim, 46, meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 petang semalam selepas menderita barah paru-paru sejak setahun lalu.
Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak lima hari lalu selepas mengikuti rawatan tradisional sejak 14 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.
Chek Hashim meninggalkan dua isteri iaitu Che Bongsu Junuh dan Aida Zakaria, 49, serta 12 anak berusia antara enam bulan hingga 19 tahun.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pas kawasan Gua Musang, Husin Embong berkata, ia merupakan satu kehilangan yang besar kepada penduduk di kawasan ini.
“Allahyarham telah menjalankan tugas dengan amat baik dan mesra dengan rakyat. Biarpun pernah tewas beliau tidak kecewa dan terus bekerja untuk memastikan Pas mendapat sokongan.
“Alhamdulillah hasil berkat usahanya, Allahyarham berjaya menembusi kubu kuat UMNO pada pilihan raya umum lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment