Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, bukti yang kukuh penting untuk menghadapkan paderi berkenaan ke muka pengadilan.
''Kita tidak mahu ada benda (bukti) penting yang tercicir supaya paderi berkenaan akan dapat disabitkan dengan kesalahan serta menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya bersama-sama menjaga sensitiviti agama,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar bertajuk Kemelut Peradaban Remaja Masa Kini: Perspektif al-Quran dan al-Sunnah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Seminar dua hari itu dianjurkan oleh Yayasan Taqwa (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) dengan kerjasama Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam UM dan Panel Sosial Majlis Perundangan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Ahmad Ayob Ibrahim dan Pengarah Akademi Pengajian Islam UM, Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang.
Jamil Khir mengingatkan semua pihak termasuk bukan Islam supaya memahami sensitiviti agama lain sebelum ia mencetuskan perkara yang tidak disenangi.
Beliau berkata, ini kerana sensitiviti agama bukan melibatkan seorang individu sahaja sebaliknya seluruh penganut sesuatu agama.
''Semua pihak kena terima bahawa Islam agama rasmi Persekutuan di samping memberi kebebasan beragama kepada penganut agama lain,'' katanya.
Dalam pada itu, Jamil Khir menyarankan universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menganjurkan seminar berkaitan remaja secara berterusan supaya dapat mencari idea bernas bagi melahirkan generasi muda yang baik pada masa depan.
Katanya, seminar yang diadakan sekali setahun masih belum cukup untuk mencari pendekatan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda remaja masa kini.
''Jawapan kepada kemelut ini mesti bersifat konkrit dan realiti supaya ia dapat disesuaikan dengan kehidupan golongan itu,'' katanya.
No comments:
Post a Comment