TEMERLOH: Gara-gara enggan membayar harga minuman RM30, seorang buruh menerima padah apabila dipukul pemilik sebuah restoran di Taman Siva Garden, Mentakab dekat sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, mangsa berusia 40 tahun dari Kemayan, dekat Bera, pengsan di restoran berkenaan selepas dipukul serta cedera di kepala.
Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakan minum di restoran berkenaan sebelum dihampiri pemilik kedai berusia 30 tahun yang memberitahu mahu menutup kedainya kerana sudah lewat.
Ketika pemilik terbabit meminta wang bayaran minuman, mangsa bersama dua rakan enggan berbuat demikian dan terus mahu pulang menyebabkan pemilik kedai berang sebelum mengambil rotan dari dalam restoran.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, belum sempat mangsa menyelamatkan diri, pemilik kedai bersama seorang pekerja terus memukul mangsa beberapa kali termasuk di kepala.
Menurutnya, melihat mangsa jatuh tersungkur, dua rakannya melarikan diri meninggalkan mangsa keseorangan menahan kesakitan sebelum pengsan di tempat kejadian.
Ahmad Fadzillah berkata, pada masa sama, orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota tiba di restoran itu kira-kira 15 minit kemudian.
Katanya, polis menghantar mangsa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini, untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.
“Dua rakan mangsa yang melarikan diri gagal dikesan dan masih tidak membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Mangsa lebam dan luka di kepala akibat dibelasah dengan rotan dan polis menahan pemilik restoran itu bersama pekerjanya kerana terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan kejadian itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata
No comments:
Post a Comment