KUALA LUMPUR 23 Sept. - Kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas bekas pembantu peribadinya terpaksa ditetapkan pada Januari tahun depan ekoran perbicaraan kes liwat membabitkan kedua- dua individu itu masih lagi tertangguh.
Penolong Kanan Pendaftar, Khairul Fahri Yusob menetapkan tarikh 10 Januari 2011 bagi pengurusan kes ketika tuntutan saman itu disebut di hadapan beliau di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pada prosiding tersebut, peguam Jason Teh hadir bagi pihak Ketua Pembangkang itu. Beliau turut menyebut bagi pihak peguam Zambri Idrus yang mewakili Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Perbicaraan kes liwat yang sudah tertangguh beberapa kali dijadualkan untuk disambung pada 14 Oktober ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah turut menetapkan beberapa siri tarikh perbicaraan lain sehingga Disember ini.
Pada 30 Jun 2008, Anwar selaku plaintif memfailkan saman terhadap bekas pembantu peribadinya itu yang dinamakan sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, pada 28 Jun tahun yang sama, defendan telah membuat satu laporan polis yang mendakwa dirinya diliwat dua hari sebelum itu oleh beliau.
Dalam laporan tersebut, ujar plaintif, defendan dengan niat jahat dan sebab yang tersembunyi telah memburuk-buruk dan merosakkan imej beliau dari segi politik.
Anwar mendakwa, perkataan-perkataan dalam laporan itu bermakna dan difahami sebagai beliau terlibat dalam perlakuan seks luar tabii, seorang homoseksual, melakukan perbuatan jenayah di bawah Seksyen 377A dan 377C Kanun Keseksaan serta melakukan kesalahan yang bertentangan dengan prinsip agama Islam.
Sementara itu, Mohd. Saiful Bukhari dalam pernyataan pembelaannya pada Mei tahun lalu menyifatkan laporan polis itu adalah wajar dan sekiranya tidak benar maka pendakwa raya tidak akan mendakwa plaintif atas tuduhan meliwat.
No comments:
Post a Comment