Anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, seorang warga Singapura telah dibebaskan dari tahanan dan akan diusir dari negara ini.
Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata perintah tahanan ke atas Mas Selamat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dibatalkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bermula hari ini.
Beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa Mas Selamat telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia hari ini untuk tindakan pengusiran.
Anggota kumpulan militan itu bersembunyi di Johor sejak Mac 2008 setelah berjaya melarikan diri dari pusat tahanan Whitley Road, Singapura pada 27 Feb 2008.
Beliau bagaimanapun berjaya ditahan pada 1 April, 2009 di Johor.
Sebelum ini, Mas Selamat melarikan diri dari Singapura pada bulan Disember 2001 selepas kerajaan Singapura melancarkan satu operasi keselamatan bagi membanteras JI.
Menurut kerajaan Singapura sebelum ini, dia adalah antara mereka yang merancang serangan balas terhadap Singapura kerana menahan dan menangkap rakan anggota JI.
Dia turut merancang untuk merampas sebuah kapal terbang dan merempuh Lapangan Terbang Changi tetapi melarikan diri ke Indonesia untuk mengelak dari ditahan.
Mas Selamat, yang dikenal pasti sebagai pemimpin rangkaian JI tempatan Singapura, ditahan oleh pihak berkuasan Indonesia pada Februari 2003 kerana kesalahan memiliki dokumen pengenalan palsu.
Beliau kemudiannya dipenjara 18 bulan atas kesalahan imigresen sebelum ditahan di bawah ISA oleh kerajaan Singapura pada 2006.
- Bernama
No comments:
Post a Comment