KUALA NERANG: “Sambutan Aidilfitri sudah tidak bermakna buat saya sejak tiga tahun lalu kerana anak tunggal perempuan menghilangkan diri sejak berkahwin,” kata warga emas Maria Harun, 75, yang sebak mengenangkan nasibnya ketika ditemui di Rumah Orang-Orang Tua Tanpa Waris, Kampung Padang Nyior di sini, kelmarin.
Menurutnya, dia kini menghabiskan sisa hidupnya di rumah berkenaan selain mendapatkan kasih sayang daripada tiga anak tirinya yang prihatin dengan penderitaannya.
“Saya tinggal di sini sejak tiga tahun lalu selepas satu-satunya anak perempuan berkahwin.
“Selepas berkahwin dengan lelaki pilihannya, dia terus menghilangkan diri tanpa khabar, mengikut suaminya tinggal di kawasan yang tidak diketahui.
“Selepas suami meninggal lima tahun lalu, saya tinggal bersama dia selama dua tahun sehingga dia berkahwin,” katanya.
Maria ditemui dalam program Kasih Ramadan anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang turun padang menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
Maria dari Keda, Bukit Ular, terkilan dengan sikap anaknya yang tergamak membiarkannya menetap di rumah orang tua.
“Kerinduan terubat apabila tiga anak tiri hasil perkahwinan arwah suami sebelum ini sering datang menjenguk.
“Walaupun dia bukan anak kandung, saya anggap mereka sebagai anak sendiri. Biasanya pada pagi raya, saya menunaikan solat Aidilfitri di masjid berhampiran sebelum anak tiri datang menjemput beraya bersama mereka,” katanya.
Menurutnya, dia menghabiskan seharian di rumah anak tirinya sebelum pulang semula ke rumah berkenaan.
“Terubat juga kerinduan melihat mereka menyambut hari raya. Saya berdoa agar anak saya dibukakan pintu hati untuk melawat saya di sini sementara masih hidup,” katanya sebak.
No comments:
Post a Comment