Saturday, September 4, 2010
Serah bendera Indonesia
GEORGETOWN - Dua bekas anggota Pasukan Gerak Khas Komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyerahkan bendera Indonesia, Sang Saka Merah Putih kepada pejabat konsulat republik itu di sini semalam sebagai simbolik untuk ‘mengajar’ rakyat negara jiran itu menghormati kedaulatan negara lain.
Selain itu, Othman Abdul Majid, 58, dan Saad Din, 56, turut menyerahkan memorandum mendesak kerajaan republik itu dan rakyat mereka meminta maaf kepada Malaysia atas perbuatan jelik yang telah mereka lakukan, membakar Jalur Gemilang dan juga melempar najis ke kawasan Kedutaan Besar negara di Jakarta.
Othman berkata, dia kecewa dengan tindak-tanduk segelintir rakyat Indonesia yang menghina lambang negara dan mahu mereka mengikut jejaknya supaya sentiasa menghormati jiran.
“Saya mendapat latihan sebagai komando ketika berkursus di Pengembangan Pendidikan dan Latihan Pusat Sandi Yudha di Batu Djadjar, Bandung pada 1971 di bawah Tentera Nasional Indonesia (TNI).
"Dalam kursus itu, kami diajar supaya menjunjung Pancasila, mentaati negara dan menghormati panji-panji negara.
“Namun apa yang terjadi, mereka kini sewenang-wenangnya membakar dan menghina panji-panji (bendera) negara lain. Ini yang saya berasa sangat sedih kerana di Indonesia dulu, rakyatnya tidak pernah diajar buat begitu kepada negara lain,” katanya.
Apa yang lebih menyedihkannya, kata Othman, apabila ada laporan rakyat negara berkenaan melakukan perbuatan keji itu kerana diupah.
“Saya yang sebaliknya berasa malu dan terhina apabila perbuatan sehina itu dilakukan kerana wang semata-mata. Saya berasa terhina kerana mereka itu serumpun dengan kita, yang kita anggap sebagai saudara,” katanya.
Saad pula berkata, rakyat Indonesia yang melakukan perbuatan terkutuk itu seharusnya insaf bahawa, saban tahun berbilion rupiah dibawa pulang oleh warga mereka yang mencari rezeki di sini sekali gus membantu memakmurkan kampung halaman mereka.
“Apa yang mereka nak sebenarnya? Saya tidak fikir kumpulan itu sudah menimbang sebelum membuat gesaan supaya dua juta rakyat mereka yang bekerja di sini, pulang segera. Mereka sekadar ikut kepentingan sendiri tanpa memikirkan implikasi jika benar-benar dua juta rakyat mereka itu pulang. Apa akan jadi sedangkan mereka sendiri sanggup ambil upah berdemonstrasi sekadar untuk dapat nasi bungkus?,” katanya.
Saad mengingatkan rakyat negara itu supaya insaf akan bala Allah yang sering menimpa mereka dengan pelbagai tragedi meragut ratusan ribu nyawa.
“Kita bukan mahu menghina mereka tetapi harap supaya mereka insaf. Pada masa mereka susah, siapa yang bantu? Mengapa jiran yang baik ini dihina-hina dengan perbuatan yang begitu melampau.”
“Kita harap mereka insaf dan bersyukur dengan kebaikan rakyat dan kerajaan kita. Kami mahu kerajaan dan rakyat Indonesia meminta maaf kepada kita atas apa yang telah mereka lakukan terhadap Jalur Gemilang kita,” katanya.
Sementara itu, Kepala Fungsi Ekonomi, Penerangan dan Sosial, Pejabat Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Izrani Ratini yang menerima memorandum dan Sang Saka Merah Putih bagi pihak konsulat berkata, pihaknya akan menghantar memorandum itu kepada Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment