ENDAU: “Disebabkan kesempitan hidup, selepas melahirkan anak bongsu, saya menyerahkannya kepada ibu angkatnya yang kebetulan tidak mempunyai anak,” kata Raja Kamariyah Omar, 52, yang ingin bertemu anak kandungnya yang terpisah sejak 22 tahun lalu, Mokhzani Hazly Mohd Nor.
Menurutnya, selepas 22 tahun terpisah, naluri keibuannya meronta-ronta untuk bertemu semula dengan anak bongsunya itu.
Beliau yang juga ibu tunggal dan cacat penglihatan serta berasal dari Kampung Bukit Rompin, di sini, terpaksa menyerahkan Mokhzani yang ketika itu berusia dua bulan kepada keluarga angkat.
“Suami meninggal dunia semasa saya mengandungkan Mokhzani. Sejak kematian suami, saya dihimpit kesukaran hidup kerana tiada lagi tempat berteduh.
“Pada masa sama, saya juga membesarkan seorang anak lelaki kurang upaya (OKU),” katanya di sini, semalam.
Raja Kamariyah menerima ketentuan Tuhan lantaran kedaifan hidup tetapi rasa terkilan kerana keluarga angkat anaknya tidak mahu menemukan dia dengan Mokhzani.
“Saya masih ingat sewaktu Mokhzani berusia tiga tahun, dalam satu majlis, dia ketika itu duduk di ribaan saya tiba-tiba ditarik ibu angkatnya.
“Saya hanya membiarkannya saja kerana dia masih kanak-kanak, tidak tahu lagi siapa ibunya. Namun, hati saya sangat tersentuh kerana Mokhzani sedang mengusap wajah saya sebelum ditarik ibu angkatnya,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya adalah ketika Mokhzani berusia lapan tahun iaitu semasa hari kematian datuknya.
“Itulah kali terakhir saya bertemu dengannya. Pada masa itu, rasa rindu saya seakan lenyap apabila dia datang dan memegang bahu saya. “Sekarang dia pasti sudah besar panjang. Saya mengikuti juga perkembangannya, dengarnya dia sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Raja Kamariyah berterima kasih kepada ibu angkat Mokhzani kerana membesarkan anaknya itu selain memberikan pendidikan sempurna hingga berjaya ke menara gading.
Katanya, jika tinggal bersamanya, Mokhzani mungkin tidak akan menjadi seorang yang berjaya dalam hidup atau pelajaran.
“Saya tidak berniat untuk mengambilnya semula selepas 22 tahun berlalu cuma ingin bertemu dengan darah daging saya semula sebelum saya menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
No comments:
Post a Comment