Thursday, October 28, 2010

60 kali tidak hadir



GERIK – Seorang bapa, Azman Harun, 43, melahirkan rasa tidak puas hati apabila anaknya, Mohd Habib Haziqah, 14, yang belajar di sebuah sekolah menengah di sini dibuang sekolah kerana tidak hadir sebanyak 60 kali. 

Azman berkata, dia pernah berusaha untuk berbincang dan mengemukakan rayuan kepada pengetua sekolah itu, namun gagal. 

Menurutnya, pada pengetahuannya, sepanjang tahun ini seramai 130 pelajar daripada pelbagai tingkatan dibuang sekolah. 

“Sehingga hari ini (semalam), sudah lebih dua bulan anak saya tidak bersekolah dan terpaksa bekerja sementara di sebuah bengkel motosikal di Gerik. 

“Saya sudah berusaha untuk berjumpa pihak sekolah, namun sepanjang perbincangan yang diadakan di sekolah itu, pengetua tidak pernah berada di sekolah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Air Suda, semalam. 

Azman berkata, sikap pengetua dan penolongnya didakwa tidak boleh dibawa berbincang dalam segala hal, termasuk masalah pembuangan pelajar. 

Dia berkata, tarikh pertemuan pertama yang ditetapkan untuk kes anaknya jatuh pada hari minggu menyebabkan dia terpaksa membuat perjumpaan susulan dengan pihak sekolah. 

"Diharap pihak berkenaan terutama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan Perak mengambil perhatian serius berhubung masalah ini,” katanya. 

Menurutnya, dia turut tidak berpuas hati kerana anaknya pernah ditampar dan dipaksa menghisap rokok bagi memudahkan kerja pihak sekolah walaupun anaknya bukan perokok. 

Sementara itu, Mohd Habib berkata, pada awalnya tindakan yang dikenakan adalah penggantungan sekolah dan ia sepatutnya selesai apabila ayahnya berjumpa dengan timbalan pengetua. 

“Setelah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan penolong pengetua tanpa kehadiran pengetua, saya dibenarkan meneruskan persekolahan, namun pada Ramadan lalu iaitu hari kedua menjalani ujian dalaman sekolah, saya dipanggil pengetua dan dibuang serta merta,” katanya.

No comments:

Post a Comment