Thursday, October 28, 2010
PKR umum tujuh misi dalam manifesto
SANDAKAN - Parti Keadilan Rakyat (:PKR) semalam mengumumkan tujuh misi perjuangannya jika calonnya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan Parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya kecil di situ 4 November ini.
Calonnya, Ansari Abdullah berkata tujuh misi berkenaan termasuk menyampaikan suara dan keluhan rakyat kawasan Batu Sapi ke Parlimen tanpa mengira agama, bangsa, kaum dan kedudukan.
“Saya juga bertekad membela rakyat Batu Sapi daripada berterusan menjadi mangsa penindasan oleh pelbagai pihak dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab,” katanya semalam.
PKR juga, katanya, akan bersama rakyat berusaha dan menuntut pembangunan kawasan Batu Sapi mengikut keperluan dan kemampuan selain merancang program dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat Batu Sapi.
Menurut Ansari, PKR juga akan memastikan pelajar-pelajar di luar bandar dapat menikmati kemudahan yang terbaik bagi meningkatkan tahap pendidikan mereka serta membantu sedaya upaya mengurangkan tahap kemiskinan dan gejala sosial.
Sambil berjanji untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi dan sepenuh hati, Ansari berkata beliau akan berusaha memberikan la�yanan yang terbaik untuk penduduk Batu Sapi tanpa pilih kasih.
Ansari turut menafikan laporan media kononnya beliau diserang penyokong Barisan Nasional di kawasan Kampung Bukara ketika berkunjung ke situ malam semalam.
Katanya, beliau sudah tiga kali ke perkampungan berkenaan untuk berkempen dan tidak pernah dikasari oleh penduduk kampung itu.
“Pagi tadi, ketika mengiringi presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat Pasar Tanah Merah, saya ditanya pemberita sama ada benar saya diserang malam tadi. Saya tanya dia, apakah anda ada melihat sebarang tanda yang saya telah diserang?,” katanya. - Bernama
Labels:
PKR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment