Thursday, October 28, 2010

Hutang negara meningkat



SHAH ALAM - Peningkatan mendadak hutang negara dalam tempoh lima tahun kepada RM362.39 bilion seperti didedahkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dipercayai akibat ketirisan dan rasuah. 

Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, jumlah itu turut dipengaruhi kerugian RM10 bilion dialami negara akibat rasuah setiap tahun sebagaimana didedahkan oleh Ketua Setiausaha Negara. 

“Hutang kerajaan di dalam negara tahun lalu RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna rakyat Malaysia seramai 26 juta menanggung hutang sebanyak RM14,000 setiap orang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata, laporan Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan berlaku penyelewengan agihan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan. 

“Malah, ada penerima memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah,” katanya. 

Idris turut mempersoalkan keberkesanan pentadbiran oleh kerajaan pemerintah yang sentiasa mengaku ‘bijak’ sebaliknya negara dibebani hutang yang banyak. 

“Adakah ini sebuah kerajaan yang berkesan dalam mentadbir negara? Biasanya pemimpin UMNO di negara ini sering mendabik dada bahawa parti yang bijak memerintah ialah UMNO dan BN. Selain mereka, tidak ada yang mampu,” katanya.

No comments:

Post a Comment