Tuesday, October 19, 2010

Lubang susahkan pemandu



Keadaan jalan yang berlubang dan rosak di Bulatan Melawati, Shah Alam mengundang risiko kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.



SHAH ALAM 18 Okt. - Jalan di sekitar Bulatan Melawati, berhampiran Pusat Perniagaan Seksyen 15 dan Pejabat Pos Besar di sini kini mengalami kerosakan yang teruk.
Menurut beberapa pengguna, keadaan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu tanpa ada sebarang langkah untuk membaikinya diambil oleh pihak berkuasa tempatan.
Tinjauan Utusan Malaysiamendapati, jalan di situ bukan setakat berlubang tetapi kerosakannya sudah memanjang dan boleh mendedahkan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal kepada risiko kemalangan.
Seorang pengguna yang ditemui, Hasmah Mohd. Kadir, 35 berkata, keadaan jalan di sekitar Bulatan Melawati kini sangat berbahaya, apatah lagi laluan itu sememangnya sentiasa sibuk.
Menurutnya, kerosakan jalan itu perlu dibaiki dengan segera bagi mengelak pengguna daripada menjadi mangsanya.
"Saya sendiri hampir-hampir melanggar penghadang jalan di situ kerana ingin mengelak lubang-lubang yang semakin membesar di bulatan ini.
"Nasib baik ketika itu kenderaan tidak berapa banyak dan saya sempat memberhentikan kenderaan seketika," katanya yang menggunakan jalan tersebut setiap hari untuk pulang ke rumahnya di Puchong.
"Saya selalu tertanya-tanya apakah sebabnya laluan tersebut tidak dibaiki dengan segera sedangkan keadaannya sudah benar-benar teruk dan jalan itu adalah laluan utama orang ramai," katanya.
Tambahnya, jika perkara itu dibiarkan, ia bukan sahaja mengundang risiko kemalangan tetapi juga boleh menjatuhkan imej Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor.
Seorang lagi pengguna, Shahwati Ibrahim, 29, yang ditemui ketika sedang melakukan urusan di Pusat Perniagaan Seksyen 15 pula berkata, jalan utama di kawasan berkenaan memang berdepan dengan masalah berlubang yang serius.
Katanya, lubang yang berada di tengah-tengah jalan itu sukar untuk dielakkan oleh pengguna yang melalui kawasan itu khususnya mereka yang tidak biasa dengan jalan tersebut.
"Saya sendiri kalau lalu di situ kadang kala terpaksa melanggar lubang-lubang itu kerana tidak boleh mengelak disebabkan ada motosikal berada di tepi kenderaan saya," ujarnya.
Shahwati berharap masalah jalan berlubang di situ dapat diselesaikan dengan segera agar tiada perkara tidak diingini berlaku.
Harapan itu turut dilahirkan oleh seorang pengguna, Mohd. Azlan Mohd Azmin, 26, yang sering melalui laluan tersebut untuk menyelesaikan kerja-kerja harian sebagai penghantar surat.
Dia berkata, bukan sahaja jalan di situ yang rosak dan berlubang tetapi banyak lagi jalan lain di sekitar Shah Alam.
"Cuba lihat jalan dari pusat bandar melalui Pejabat Pos Besar ke Bulatan Kayangan, jalan itu lagi teruk berlubang.
"Sudahlah kawasan itu agak sunyi, bayangkan jika sesuatu tidak diingini berlaku, mungkin mengambil masa untuk seseorang membantu," katanya.
Beliau turut memberitahu, banyak jalan di sekitar Sekysen 18, Seksyen 20, Seksyen 17 dan jalan sekitar Bukit Kemuning dan Bukit Naga juga mengalami masalah yang sama.

No comments:

Post a Comment