Tuesday, October 19, 2010
Piket aman tuntut kembalikan hak tanah
SUNGAI MAI - “Apa erti merdeka? Di mana hak kami selaku orang asal negara ini apabila tanah adat kami diceroboh pihak tidak bertanggungjawab tanpa ada campur tangan serius pihak kerajaan. Kami mahukan masalah pencerobohan ini ditangani.”
Itu antara ungkapan yang diluahkan hampir 100 penduduk pelbagai latar usia daripada masyarakat Orang Asli suku Jahut Sungai Mai, yang mengadakan piket aman di laluan utama masuk ke kawasan tanah adat mereka.
Seorang penduduk, Yusri Ahon, 37, berkata, masalah pencerobohan tanah itu sudah lama berlaku dan banyak laporan sudah dibuat kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, tanah yang dicerobohi itu termasuk dalam rizab Orang Asli sebagai tanah adat dan dia mendakwa, pemberian permit pemilikan sementara (TOL) kepada beberapa pihak untuk mengusahakan tanah terbabit, bertindih dengan hak Orang Asli.
“Dahulu, ada pihak yang kata nak masuk dan bercucuk tanam. Kami terima dan izinkan dengan syarat ia bukan tanaman kekal dan ternyata ia dipatuhi apabila mereka hanya bertanam halia, betik dan pisang.
“Apa yang berlaku sekarang, bukan sahaja kawasan tanah adat dicerobohi dan diteroka, tapi kawasan bersebelahan juga diteroka untuk tujuan kepentingan sendiri. Mereka pada mulanya menanam pisang, namun di antara pokok pisang ditanam dengan anak sawit dan getah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Yusri berkata, perkara itu menyebabkan masyarakat Orang Asli di kawasan itu tiada tempat untuk mencari makan atau ubat-ubatan berikutan kawasan mereka ‘diganggu’ dan jika memasuki kawasan hutan simpan kerajaan pula, mereka bakal berdepan kesalahan serta boleh ditangkap Perhilitan jika berburu.
Katanya, sudah 10 laporan polis dibuat sejak 2007 lalu sehingga tahun ini, tetapi masih tiada tindakan dilakukan bagi membela hak mereka sebagai Orang Asli.
“Jika di daerah lain, masalah sama boleh diberi perhatian, kami juga mengharapkan perkara sama dapat diberikan pihak berkuasa tempatan yang ada di daerah ini untuk menghentikan pencerobohan tanah haram itu.
“Kami juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang jika masalah yang sama masih tidak ditangani dan diberi perhatian serius,” katanya
Labels:
Piket
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment