PETALING JAYA 18 Okt. - "Sudah banyak aduan yang saya buat tetapi kenapa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih tidak mengambil tindakan?
"Jika ia (aduan) baru dibuat tiga hari lalu, mungkin masih terlalu awal tetapi aduan telah saya buat sejak tiga tahun dahulu."
Begitulah luahan Asiah Darus, 59, seorang penduduk di Jalan SS4B/18 ketika ditemui di sini hari ini.
Masalahnya, daun-daun gugur dari pokok-pokok di Jalan Bahagian (di hadapan rumahnya) memasuki ke sistem salur air di bumbung rumahnya mengakibatkan air tersekat.
Akibatnya, setiap kali hujan lebat, air yang tersekat akan melimpah masuk ke dalam rumahnya.
Pada awalnya, Asiah beranggapan air yang masuk itu mungkin disebabkan berlaku kebocoran pada bahagian bumbung rumahnya tetapi setelah pemeriksaan dilakukan, ternyata ia berpunca dari salur air yang tersekat.
"Siling dan banyak barang dalam rumah saya rosak terkena air yang mencurah masuk, malah ada ketikanya, saya terpaksa menadah baldi bagi mengelakkan air melimpah ke bahagian rumah yang lain," katanya lagi.
Bukan itu sahaja, Asiah juga terpaksa kerap membersihkan daun-daun yang tersekat di salur air rumahnya itu.
Setiap kali dibersihkan dengan upah kira-kira RM250, katanya, tidak kurang dua beg plastik sampah akan penuh dengan daun kering.
Katanya, dalam aduannya, dia meminta MBPJ memotong pokok-pokok di Jalan Bahagia itu bagi mengelakkan dia terus menanggung kerugian.
Selain itu, katanya, pokok-pokok itu juga sudah tua kerana semasa dia mula-mula berpindah ke situ 27 tahun lalu, pokok-pokok tersebut sudah ada.
"Namun, MBPJ hanya memotong pokok-pokok kecil dan enggan mencantas pokok yang besar dan tua atas alasan mengelakkan pemanasan global.
"Mengapa MBPJ tidak mengambil kira kos yang perlu saya tanggung. Lagi pun saya bukan minta tebang pokok itu, cuma cantas dahan yang masuk ke kawasan rumah saya," katanya.
Dalam pada itu, Asiah juga mempersoalkan sistem penerimaan aduan MBPJ yang disifatkannya sebagai sangat tidak efisien.
Katanya, dia ada membuat aduan pada 29 Ogos lalu dan diberikan nombor rujukan tetapi apabila dirujuk semula, dia diberitahu, aduan itu adalah di bawah nama orang lain.
"Saya dinasihatkan membuat aduan kedua dan sekali lagi saya diberikan nombor rujukan pada awal bulan ini.
"Kemudian apabila saya cuba mendapatkan perkembangan aduan berdasarkan nombor aduan yang diberikan, sekali lagi pegawai MBPJ memberitahu nama pengadu lain dan bukannya nama saya.
"Adakah ini kesilapan atau mereka cuba memperlekehkan aduan yang saya lakukan," tegasnya.
No comments:
Post a Comment