Sunday, November 14, 2010

22 jemaah haji Malaysia meninggal di Tanah Suci





2010/11/14

MAKKAH: Seramai 22 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci manakala 85 masih dirawat di hospital menjelang jemaah haji dari seluruh dunia mula bergerak ke Arafah hari ini untuk berwukuf di Arafah esok. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengumumkan perkara itu bagaimanapun tidak memberikan pecahan jemaah lelaki dan wanita yang meninggal dunia.Bagaimanapun, katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) sudah memaklumkan kematian mereka kepada keluarga masing-masing sambil menambah bahawa mereka sakit sebelum meninggal dunia.
Bercakap kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah selepas meninjau operasi TH Mekah di Hotel Al-Janadriyyah petang semalam, Jamil Khir berkata TH akan membayar dam haji sebagai penghormatan kepada jemaah yang meninggal dunia bagi menyempurnakan haji mereka. 

Dalam tinjauan itu, beliau disertai Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asa''ari Mohamed Nor serta Pengarah Urusan kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail. Taklimat disampaikan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abdul Mubin mengenai persiapan agensi itu menghadapi wukuf. 

Jamil Khir berkata empat jemaah yang meninggal dunia berumur 80 tahun ke atas; 70-79 tahun (lapan orang); 60-69 tahun (empat orang); dan 50-59 tahun (enam orang). 

"Lapan puluh lima jemaah yang sakit tidak akan dihalang dari mengerjakan rukun haji. Mereka akan dibawa terus dengan ambulans ke Arafah dan dibantu urusan melontar jamrah serta tawaf haji dan saie haji," katanya. 
Jamil Khir berkata 71 orang dirawat di dua hospital Malaysia dan 14 lagi di hospital Arab Saudi di Madinah dan Makkah. 

Mereka yang dirawat terdiri daripada 46 lelaki dan 39 perempuan. Kebanyakan mengalami penyakit kulit dan sendi dan batuk. 

Katanya, 28 jemaah yang lemah daya ingatan, kelainan upaya atau uzur akan dibantu secara satu pesakit satu petugas TH sehingga selesai mengerjakan rukun haji. 

"Saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat....marilah sama-sama berdoa agar semua jemaah kita kuat dari segi mental dan fizikal supaya ibadah mereka lengkap dan mendapat haji mabrur," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment