Sunday, November 14, 2010

Beginda murtad: JAIS minta bantuan Jakim


KUCHING 13 Nov. - Sarawak akan mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiasat dan mengesahkan sama ada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Beginda Minda sebelum ini merupakan seorang Islam atau sebaliknya.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) tidak mempunyai rekod yang mengatakan Beginda atau nama Islamnya, Nor Azman Abdullah telah memeluk Islam.
Jelasnya, Beginda juga tidak pernah mengaku kepada jabatan tersebut dia seorang Islam atau tidak pernah keluar daripada Islam walaupun namanya menunjukkan dia seorang Islam.
''Kita akan menyiasat perkara ini dan kerajaan negeri akan meminta bantuan Jakim yang akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam lain di negara ini untuk membantu sama ada Beginda pernah mempunyai rekod sebagai seorang Muslim atau tidak.
''Sebaik sahaja kita mendapat laporan itu, kita akan membuat susulan mengenai perkara tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ditanya mengenai penggunaan nama Islam oleh Beginda, Daud memberitahu, perkara itu bukan merupakan sesuatu yang baru di Sarawak kerana banyak masyarakat bukan Islam turut menggunakan nama seperti orang Islam.
''Saya sendiri hairan bagaimana Beginda mempunyai nama Islam dan kita akan menyiasat perkara ini," katanya.
Sementara itu, Daud berkata, di Malaysia, setiap individu yang murtad termasuk di Sarawak hanya akan diberikan kaunseling tidak seperti amalan sebelum ini iaitu diambil tindakan ke atas mereka yang murtad.
Ujarnya, jika mereka mengakui hanya memeluk Islam dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, jabatan itu akan membenarkan mereka keluar agama Islam.
''Namun kes-kes seperti ini amat jarang dan kita tidak menggalakkan ia daripada berlaku," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment