KAHERAH 12 Nov. - Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka mencecah paras RM3,600 satu tan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata pakar strategi pasaran.
Ketua Strategi Pasaran NextView Group, Benny Lee berkata yang menyediakan perkakasan pelaburan tepat masa untuk pelabur runcit dan profesional berkata, faktor-faktor teknikal menunjukkan harga minyak sawit yang tinggi dalam tempoh setahun akan datang.
"Untuk tempoh jangka pendek, dalam tempoh tiga bulan akan datang, saya menjangkakan harga antara RM3,000 dengan RM3,300 setahun.
"Kami mengunjurkan RM3,300 satu tan untuk tempoh terdekat dan ia akan turun sedikit kepada RM3,000 sebelum dijangka melonjak kepada RM3,600 dalam tempoh jangka panjang, kata Lee.
Beliau berkata, unjuran harga meningkat untuk tahun depan akan kekal selagi harga semasa kekal melepasi paras sokongan pada RM2,550 satu tan.
Lee sebelum itu membentangkan kertas kerja pada Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Mesir 2010 (POTS Mesir 2010) yang berlangsung di sini pada Isnin, anjuran bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia dengan usaha sama Pihak Berkuasa Am Mesir bagi Pelaburan dan Dewan Industri Makanan Mesir.
Lee berkata, trend harga untuk MSM terus kekal dalam aliran meningkat dan ia kini melepasi purata pergerakan jangka pendek hingga jangka panjang 30 hingga 90 hari.
Purata pergerakan tempoh jangka pendek 30 hari kini sekitar RM2,645 satu tan, manakala purata pergerakan jangka panjang 90 hari kira-kira RM2,530 satu tan.
Beliau berkata, ia merupakan trend yang sihat memandangkan pada puratanya ia terus meningkat dengan kedudukan minat terbuka yang tinggi yang menyokong trend itu.
Pada asasnya beliau berkata, harga dijangka meningkat berdasarkan permintaan yang lebih tinggi berikutan musim perayaan akhir tahun dan alternatif minyak makan lain yang murah, pengeluaran yang rendah dan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah.
Semalam, harga-harga MSM terus meningkat, yang berkisar antara RM3,392 dan RM3,404 satu tan, dirangsang oleh pengeluaran yang rendah.
Peniaga bagaimanapun berkata, peningkatan selanjutnya disekat oleh pembetulan selepas MPOB pada Rabu mengumumkan bahawa stok minyak sawit meningkat pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan bulan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment