Tuesday, November 30, 2010

25 kes dera budak di Terengganu





SETIU 29 Nov. - Sejumlah 25 kes penderaan kanak-kanak pelbagai peringkat usia dilaporkan berlaku di negeri ini dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zakaria Abu Bakar memberitahu, ia mencatatkan penurunan berbanding 38 kes tahun lalu.
Menurut beliau, ia membabitkan lima kes penderaan fizikal, 18 kes seksual, satu kes emosi dan satu lagi kes pembuangan bayi.
Beliau berkata, penurunan kes memperlihatkan perkembangan memberangsangkan yang mungkin mempunyai kaitan dengan tahap kesedaran meluas masyarakat.
''Melalui pelbagai program yang dijalankan termasuk oleh JKM di seluruh negeri ini, masyarakat disedarkan bahawa perbuatan itu suatu jenayah dan mereka yang bersalah akan dihukum.
''Kita berharap trend penurunan ini akan berterusan agar ia tidak menjadi gejala dalam masyarakat, apatah lagi mangsa dianiaya oleh keluarga sendiri atau mereka yang mempunyai hubungan," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Program Kami Prihatin di Dewan Sivik Kampung Chalok Kedai dekat sini baru-baru ini.
Program berkenaan anjuran JKM Daerah Setiu itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha'ari Idris.
Beliau berharap kerjasama daripada orang ramai agar dapat melaporkan kepada JKM dan polis sekiranya terdapat kes penderaan kanak-kanak yang diketahui berlaku di kawasan mereka.
''Ia tidak boleh didiamkan. Tindakan mereka berbuat demikian supaya kejadian yang tidak diingini itu akan dapat diatasi," katanya.
Zakaria berkata, program seumpama itu yang dianjurkan oleh JKM bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya fungsi, peranan serta tanggungjawab mereka.
''Tanpa kerjasama mereka, gejala ini mungkin menular dalam senyap dan ramai lagi kanak-kanak akan teraniaya," katanya.

No comments:

Post a Comment