2010/11/30
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meramalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti lebih baik pada pilihan raya umum akan datang berbanding dengan pilihan raya umum 2008. Beliau berkata, ini kerana kerajaan kini masih kuat dan mungkin marjin kemenangan adalah sesuatu yang baik.
"Saya benci untuk meramal perkara ini kerana ia mungkin tidak diterima dengan sangat baik, tetapi saya fikir menang kuat adalah sangat penting...dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan akan masih menang dan majoriti mungkin lebih baik daripada 2008," katanya ketika ditanya mengenai ramalan beliau bagi pilihan raya umum akan datang.Dr Mahathir berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Lanskap Politik Malaysia - Pengalaman, Perspektif dan Pemikiran" pada Dialog Forum Malaysia-Eropah (MEF) Kuala Lumpur ketiga 2010 di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pilihan raya umum 2008 menyaksikan pencapaian BN terlalu teruk kerana tewas di lima negeri dan Kuala Lumpur, serta gagal memperoleh majoriti dua pertiga bagi memerlukan untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat.
"Pilihan raya 2008 jelas menunjukkan bahawa BN telah kehilangan sokongan bukan hanya daripada mereka yang bersimpati tetapi juga anggota parti komponen. Malah kubu kuat BN juga tewas," kata Dr Mahathir yang memegang tampuk kepimpinan kerajaan selama 22 tahun.
Beliau berkata, hanya beberapa orang sahaja yang berani mengkritik pemimpin atau kerajaan perdana menteri kelima (penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi), tetapi selepas pilihan raya umum 2008, mereka merasakan kepimpinanlah yang paling dikutuk kerana kekalahan itu dan mereka meminta untuk satu perubahan dalam kepimpinan negara.
"Pengkritik dihalang daripada berucap pada perjumpaan anjuran parti politik, pertubuhan bukan kerajaan atau individu kerana menyedari bahawa kerajaan bimbang dengan kritikan dengan pembangkang sentiasa menyerang," katanya.
Bercakap mengenai demokrasi, Dr Mahathir berkata Malaysia bukan satu demokrasi yang liberal kerana ada hadnya mengenai apa yang dipanggil kebebasan demokrasi, tetapi Malaysia telah menunjukkan demokrasinya adalah bebas sepenuhnya bagi mereka yang membangkang kerajaan untuk memenangi pilihan raya dan malah untuk menewaskan parti kerajaan dan mengambil alih pentadbiran negeri.
"Demokrasi mungkin sistem politik yang paling baik yang pernah dicipta oleh manusia, seperti benda lain yang dicipta oleh manusia, ia bukan sempurna. Pastinya demokrasi liberal tidak boleh dilakukan dengan mereka yang hanya tahu mengenai pemerintahan kuku besi atau rasuah.
"Malaysia bukan model demokrasi yang sempurna tetapi pengundi boleh, jika mereka ingin berbuat demikian, tukar kerajaan hanya dengan pengundian dalam pilihan raya bebas, itulah intipati demokrasi," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment