SEOUL: Angkatan tentera laut Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan merancang untuk melancarkan ‘permainan perang’ empat hari mulai hari ini berikutan ketegangan yang tercetus di Semenanjung Korea, beberapa hari selepas Korea Utara menyerang wilayah diKorea Selatan itu.
AS menghantar kapal pengangkut pesawat pejuang yang dilengkapi senjata nuklear iaitu USS George Washington disertai kapal perang dan pemusnah milik Korea Selatan. USS George Washington berlepas dari pelabuhan Jepun Rabu lalu, sehari selepas Korea Utara menggemparkan dunia apabila menyerang pulau di Korea Selatan hingga mengorbankan dua anggota marin dan dua orang awam. China yang menjadi sekutu Korea Utara tidak memberi sebarang ulasan mengenai tindakan Pyongyang itu, bagaimanapun, menentang tindakan AS membabitkan diri dengan isu ketegangan yang berlaku di dua negara Korea terbabit. Pentagon berkata, penghantaran kapal USS George Washington di perairan antarabangsa bertujuan sebagai pertahanan dan sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu sebelum serangan Korea Utara itu. Kapal berkenaan turut melakukan operasi sama pada Oktober 2009 di perairan barat Semenanjung Korea. Berita agensi Yonhap memetik kenyataan pegawai tentera Korea Selatan sebagai berkata: “Latihan ketenteraan ini akan menjadi lebih hebat daripada dirancang. Tentera dari kedua-dua negara akan melakukan latihan pengeboman dan tembakan.” Pyongyang mendakwa serangan yang dibuat Selasa lalu sebagai tindak balas terhadap tembakan yang dimulakan Korea Selatan dan memberi amaran permainan perang di semenanjung itu bermakna ‘ia semakin hampir dengan peperangan sebenar’. - AFP
No comments:
Post a Comment