Sunday, November 28, 2010

Obama disiku kena 12 jahitan



WASHINGTON 27 Nov. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama terpaksa menerima 12 jahitan di bahagian atas bibir selepas disiku semasa bermain bola keranjang pagi semalam bersama keluarga dan rakan-rakannya yang berkumpul sempena cuti Hari Kesyukuran.
Setiausaha Media White House, Robert Gibbs berkata, kecederaan tersebut berpunca dari tindakan Pengarah Program Institut Kongres Hispanik Kokus, Rey Decerega yang tidak sengaja menyiku Obama pada mulutnya semasa set kelima dan terakhir permainan.
"Decerega cuba menjaringkan bola tetapi terlanggar Obama yang bermain di posisi pertahanan," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hampir tiga jam selepas insiden berlaku.
Berikutan kecederaan tersebut, Obama terpaksa menerima jahitan dengan bantuan pakar bius di tingkat bawah White House selepas beliau pulang ke kediaman rasminya itu.
Doktor menggunakan benang khas filamen halus berbanding yang biasa digunakan kerana ia boleh menghasilkan jahitan lebih kemas, kuat dan meninggalkan parut yang tidak ketara.
Presiden tersebut sebelum itu pergi ke Fort McNair bagi menyertai permainan tersebut yang juga satu daripada sukan kegemarannya.
Turut bersama beliau dalam perlawanan lima lawan lima itu ialah anak saudara lelakinya, Avery Robinson; Setiausaha Pendidikan, Arne Duncan dan Reggie Love iaitu pembantu peribadinya, yang sebelum ini pernah mewakili pasukan Universiti Duke.
Selepas kira-kira 90 minit bermain, Presiden itu dilihat keluar dari bangunan berkenaan sambil memegang gumpalan kapas di bahagian mulutnya.
Beberapa jam kemudian, pemberita yang berkumpul di laluan masuk ke White House, ternampak Obama berdiri di tepi tingkap tingkat atas sambil menekap pek ais ke mulutnya sebelum duduk dan berlalu pergi. - Agensi

No comments:

Post a Comment