Monday, November 1, 2010

Ibu muda empat anak termasuk seorang lembam tinggal dalam stor getah



Tengku Fatihah Tengku Ibrahim di stor simpanan getah yang didiaminya bersama empat anak di Batu 4, Jalan Gerik-Kelantan, Gerik, semalam.


GERIK 31 Okt. - Seorang ibu muda dengan empat anak termasuk seorang lembam terpaksa berteduh di sebuah stor simpanan getah milik seorang tauke akibat kesempitan hidup selepas ditinggalkan suami tahun lalu.
Tengku Fatihah Tengku Ibrahim, 30, yang berasal dari Besut, Terengganu, hidup dalam keadaan daif di stor berkenaan yang terletak di Batu 4, Jalan Gerik-Kelantan di sini.
Menurut wanita itu, dia bergantung hidup dengan hasil pendapatan mengambil upah menoreh getah untuk menanggung tiga anak yang bersekolah dan seorang yang masih kecil.
"Memang hasilnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan kami berlima lebih-lebih lagi perbelanjaan sekolah anak, tetapi apa yang mampu saya lakukan lagi," katanya ketika ditemuiUtusan Malaysia di sini hari ini.
Ibu muda itu menyewa stor simpanan getah itu berikutan pondok tempat mereka berteduh sebelum ini musnah ditimpa pokok akibat hujan lebat.
"Saya sewa stor ini RM50 sebulan atas ihsan tauke agar anak-anak dapat berteduh daripada hujan dan panas," ujarnya.
Tengku Fatihah berkata, anak sulungnya, Nik Mastura Radini Jefri, 13, kini belajar di Sekolah Menengah Batu 4 manakala anak keduanya, Nik Suhana, 12, yang mempunyai masalah tahap pemikiran (IQ) rendah, bersekolah di sebuah sekolah pendidikan khas di sini.
Anak ketiganya, Nik Norhayati, 9, pula belajar di Sekolah Kebangsaan Batu 4.
Wanita itu hidup dalam keadaan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' malah kadang-kadang tiada duit untuk membeli makanan dan terpaksa melihat anak-anaknya makan nasi berlaukkan garam.
Menurutnya, empat anaknya itu adalah hasil dua perkahwinannya sebelum ini.
"Perkahwinan pertama saya mempunyai tiga anak dan yang kedua, seorang anak yang masih kecil. Saya terpaksa memilih jalan untuk berpisah dengan kedua-dua suami kerana mereka tidak bertanggungjawab," katanya perlahan.
Jelas Tengku Fatihah, suami pertamanya seorang nelayan, malangnya dia juga seorang penagih dadah dan keputusan bercerai diambil setelah suaminya itu dipenjarakan.
"Setelah berpisah dengan suami pertama, saya berkahwin lain agar diri saya dan nasib anak-anak terbela. Malangnya, suami kedua saya pula seorang kaki judi," katanya.
Akibat tekanan hidup yang dihadapi, dia membawa diri ke kawasan ini.
"Saya tiada tempat mengadu dan tidak sampai hati mahu menyusahkan keluarga di Besut kerana mereka juga orang susah," katanya.
Tambah Tengku Fatihah, apa yang diharapkan sekarang adalah bantuan daripada pihak berkenaan untuk membantunya menampung perbelanjaan sekolah anak-anak agar nasib mereka berubah.
Mereka yang ingin membantu Tengku Fatihah boleh menghubunginya di talian 013-4540634 atau berkunjung ke stor yang disewanya.

No comments:

Post a Comment